KUALA LUMPUR – GVT Sdn Bhd (Go Auto) mewakafkan kereta bugi kenderaan elektrik (EV) untuk kegunaan madrasah Ustaz Wadi Annuar di Sungai Petani, Kedah yang sentiasa dihadiri ramai orang hampir setiap Sabtu.
Apa yang dilakukan pengasasnya, Wan Ahmad Wan Omar atau mesra dipanggil WAWO membuktikan kejayaan sesuatu perniagaan lebih bermakna apabila dapat memberi manfaat kepada orang lain dan bukan sekadar keuntungan semata-mata.
“Dari sisi seorang usahawan berjaya yang memberi manfaat kepada orang lain, kisah inspirasi ini benar-benar membuka mata kita betapa pentingnya nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
“Perniagaan tidak hanya memfokuskan angka jualan atau teknologi semata-mata tetapi perlu mengamalkan elemen keberkatan,” kata Datuk Dr. Azizan di mana kisah kejayaaan anak didiknya itu dikongsi di Facebook Mentor Usahawan tersebut di sini.

Di bawah kredibiliti keusahawanan sebelum ini, Go Auto telah berjaya menjalankan pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) antaranya mewakafkan lebih 20 buah van jenazah kepada masjid dan surau di samping sumbangan tahunan 2,000 kampit beras kepada golongan memerlukan.
Sementara itu, WAWO juga merupakan antara pelopor Bumiputera dalam industri automotif yang berjaya bekerjasama dengan pemain industri global.
Antara pencapaian beliau apabila dilantik sebagai rakan pemasangan dan pengedar bagi dua jenama kenderaan komersial terbesar China, iaitu Yutong dan Higer.
Bukan itu sahaja, syarikatnya juga merupakan pengedar untuk produk Sky Train dan ia merupakan satu pengiktirafan terhadap keupayaan teknikal syarikat tempatan.
Di samping itu, Go Auto turut menjadi pembekal kenderaan kepada pelanggan institusi dan korporat utama seperti Prasarana Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad serta beberapa agensi kerajaan dan organisasi swasta lain.
Ketika ini, hampir 10,000 van, bas dan trak petrol, diesel bahkan kenderaan elektrik (EV) telah dihasilkan oleh Go Auto yang mana kini syarikat itu fokus membangunkan EV selari dengan aspirasi hijau dan kelestarian alam sekitar.
Malah, van komersial EV keluaran mereka adalah yang pertama dihasilkan oleh syarikat Bumiputera dan bukan sekadar prototaip malah ia telah digunakan di lapangan.
Bukan itu sahaja, WAWO juga membawa syarikatnya ke pentas antarabangsa dengan projek eksport kereta bugi EV ke Amerika Syarikat, lengkap dengan teknologi seperti sistem solar, GPS, kamera undur, TV dan sistem telematik. – MalaysiaGazette
















