Allahyarham Nurul Athira Auni Mohamad Hafizzan.

KUANTAN – “Arwah adalah belahan jiwa saya, masih terkenang anak sehingga hari ini, tidak tahan gugur air mata walaupun saya lelaki”.

Itu luahan bapa kepada pempengaruh TikTok, Allahyarham Nurul Athira Auni Mohamad Hafizzan.

Mohamad Haffizan Hassan sebak ketika berkongsikan kebaikan arwah anaknya di pusara Nurul Athira Auni di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, di Kuantan

Hampir seminggu pemergian Nurul Athira yang maut akibat dirempuh sebuah motosikal dari belakang, hati bapanya masih dihuni perasaan rindu kepada anak yang banyak berjasa kepadanya.

Mohamad Haffizan Hassan, 56, berkata, pemergian anak kedua itu sungguh dirasai kerana diia kini kesorangan menebar roti canai di gerainya yang terletak Taman Mahkota Aman di sini.

Ujar bapa anak lima itu, rutin harian anak gadisnya membantu menebar roti canai di gerai memudahkan dia menguruskan perniagaan yang diusahakan lebih 10 tahun lalu.

Sebagai ubat rindu, ayahnya masih tidur sambil mencium baju kurung merah jambu kali  terakhir dipakai anaknya ketika menebar roti canai.

Jelas Mohamad Haffizan, arwah mengenakan pakaian itu kali terakhir dan sempat merakam video menebar dan menggoreng roti cana seakan-akan mengetahui akan meninggalkannya.

“Kakak sangat berbakat, seni menebar roti canai lebut dan roti lebar, dia pernah viral kerana pandai menebar roti canai sejak darjah empat lagi.

“Dulu saya ada semangat berniaga roti sebab tengok anak depan mata, sekarang saya toleh belakang hanya ada periuk. Arwah sangat rajin bantu saya waktu pagi dan petang tolong ibunya buat penghantaran makanan kepada pelanggan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Tambah Mohamad Haffizan, anak perempuan itu menanggung keluarga dan tidak pernah lokek berkongsi rezeki setiap kali mendapat bayaran daripada pekerjaan sebagai pempengaruh di media sosial.

Beliau juga menepis dakwaan sesetengah pihak yang menuduh anaknya melakukan perkara tidak baik semasa kejadian.

“Dia gigih mencari rezeki demi keluarga, bantu adik-adik. Saya kenal anak saya, pemergian beliau sangat dirasai dan kerana insiden arwah ini, saya dan bekas isteri sudah bertegur sapa.

“Arwah telah menyatukan silaturahim sekeluarga dan berjasa kepada adik-beradiknya malahan kepada rakan-rakan mengenalinya. Selepas meninggal Allah buka semua kebaikannya,” katanya.

Sementara itu, ibu kandung Auni, Nursalahsiawati Anuar, 44, ketika ditemui turut hiba sehingga masih belum mampu memulakan perniagaan nasi lemak selepas pemergian anaknya.

Nursalahsiawati Anuar

“Kakak (arwah) tidak pernah berkira kudratnya dan sangat rajin membantu saya. Setiap hari dia mempromosikan jualan, dan kerana dia memang perniagaan  mendapat sambutan.

“Walaupun saya dan suami sudah berpisah tetapi anak menjalankan tanggungjawab sebagai anak dengan baik dan tidak pernah penat selain membuat kerja sebagai influencer.

“Setiap kali dia dapat bayaran buat job, dia mesti bahagikan kepada saya dan ayahnya, juga bantu adik-adiknya.

“Sebelum ini dia pernah berhasrat untuk membelikan kereta kepada ayahnya dan barang kemas kepada saya namun tidak kesampaian,” ujarnya hiba.

Adik lelaki Allahyarham,  Muhammad Aizzarif Afiq Mohamad Hafizzan, 18, pula menyifatkan pemergian kakaknya kehilangan besar kerana arwah semasa hidup juga menjadi rakan karibnya.

Ia kerana mereka meminati dunia pemotoran dan sering berkongsi aktiviti bersama pengikut di media sosial.

Tambahnya, kakaknya selalu memberi semangat untuknya menyambung pengajian dan sentiasa berusaha mencari rezeki untuk mengubah nasib keluarga mereka.

“Saya dengan kakak macam kawan, rapat sangat. Kakak akan suruh saya jaga motornya dan dia sentiasa minyak motor penuh untuk saya. Dia tidak pernah kedekut dengan semua adik-beradik dan banyak bantu kami.

“Saya pernah mengatakan hasrat untuk menyambung pengajian dan arwah berkata sanggup membiayai kos pengajian nanti. Dia memang sayangkan kami sekeluarga,” katanya.

MalaysiaGazette sempat menziarahi pusara arwah di Tanah Perkuburan Islam Batu 8, di sini mendapati masih ada rakan dan taulan yang hadir menziarahi pusaranya.

Keluatga Allahyarham Nurul Athira Auni Mohamad Hafizzan menziarahi pusara arwah

Pada 3 Januari lalu Nurul Athira Auni maut dalam kemalangan motosikal di Jalan Tanjung Lumpur berhampiran TMG Mall Bandar Putra dalam kejadian 2.30 pagi.

Dalam insiden itu, seorang penunggang lain cedera di tangan, siku, dan paha apabila motosikal pelajar politeknik merempuh mereka ketika dalam perjalanan dari Tanjung Lumpur ke Bandar Kuantan.

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Sekayen 41(1]. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast