Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto SADIQ SANI, 15 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – UMNO menyatakan keterbukaan untuk memperluas penglibatan wanita dalam kepimpinan parti, termasuk cadangan sasaran minimum 30 peratus penyertaan wanita, selaras dengan peranan penting sayap Wanita UMNO dalam memperkukuh parti sejak sekian lama.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Wanita UMNO merupakan antara tunjang utama kekuatan parti dan sumbangan mereka tidak seharusnya terhad kepada peranan sokongan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam pembentukan kepimpinan dan calon pilihan raya.

Menurut beliau, UMNO mengalu-alukan kemunculan lebih ramai pemimpin wanita yang mempunyai pengalaman, keupayaan serta latar belakang profesional yang kukuh untuk diketengahkan pada peringkat lebih tinggi.

“Kita dengar tadi Ketua Wanita UMNO menyebut mengenai penglibatan wanita sebanyak 30 peratus. UMNO menyambut baik hasrat itu dan kita alu-alukan pemimpin-pemimpin wanita yang mempunyai latar belakang dan pengalaman yang hebat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Persidangan Wanita UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Tambah beliau, perbincangan mengenai peningkatan penyertaan wanita perlu dilihat sebagai usaha memperkukuh parti secara menyeluruh, khususnya dalam melahirkan barisan kepimpinan yang lebih seimbang dan mencerminkan realiti masyarakat.

Dalam pada itu, beliau mengakui cadangan sasaran 30 peratus wanita memerlukan perancangan rapi agar pelaksanaannya selari dengan keperluan parti dan landskap politik semasa.

Terdahulu, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dalam ucapan dasar pada persidangan sama menegaskan keperluan menetapkan sasaran minimum 30 peratus penyertaan wanita dalam kepimpinan UMNO secara berperingkat dan terancang.

Noraini turut mencadangkan agar sasaran tersebut diikat secara rasmi dalam perlembagaan parti bagi memastikan pelaksanaannya bersifat konsisten dan bukan sekadar komitmen jangka pendek.

Beliau menegaskan cadangan itu bukan tuntutan emosi atau retorik persidangan, sebaliknya langkah strategik untuk memartabatkan wanita sebagai pembuat dasar dan penentu hala tuju parti.

Menurut Noraini, wanita tidak seharusnya dilihat hanya sebagai jentera pilihan raya, sebaliknya perlu diberi kepercayaan dan ruang untuk memegang peranan kepimpinan yang lebih besar dalam UMNO. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast