Timbalan Ketua Bahagian umno Alor Gajah, Datuk Mustafa Musa menyampaikan perbahasan pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin UMNO diingatkan tidak berasa selesa dan seronok dengan jawatan di dalam kerajaan, sehingga mengabaikan suara akar umbi.

Perwakilan Melaka, Datuk Mustafa Musa berkata, tidak dinafikan kesemua pemimpin UMNO dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini menggalas tanggungjawab sama ada menteri atau timbalan menteri dengan sangat cemerlang.

Namun, beliau yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Alor Gajah berkata,  pemimpin berkenaan juga perlu mendengar keluh-kesah dan untung nasib ahli-ahli akar umbi.

“Menteri-menteri UMNO dalam bekerja dan menjalankan tanggungjawab kenegaraan memamg tip top, sebab kehebatan itu memang datang daripada UMNO. Tapi di samping terajui kepimpinan kementerian, tolong juga beri masa dan tanggungjawab kepartian.

“Jangan seronok urus kementerian sahaja dan jelajah ke desa-desa dengan membawa nama kementerian semata-mata, tetapi pandangan ahli-ahli UMNO tak diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini hari ini.

Sementara itu, Mustafa berkata, meskipun UMNO kini membuka semula parti tersebut kepada ahli dan parti-parti lain di bawah Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, namun ia perlu dilakukan dengan bersyarat.

Katanya, langkah itu bagi memastikan UMNO tidak dikhianati seperti mana yang pernah berlaku dalam kerjasama serupa sebelum ini.

“(Orang) Melayu tak pernah jujur dalam bersatu selagi tak kalah, tak ditekan dan diinjak.

“Tetapi bila tertekan dan berasakan semua tak kena kepada kepentingan politik mereka, barulah mahu hulurkan tangan perdamaian. Ini bukan Melayu UMNO, tetapi Melayu (parti) lain,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast