Sebahagian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hadir bagi menyerahkan memorandum isu cadangan pemindahan ladang penternakan babi ke Bukit Tagar, Selangor kepada kerajaan negeri oleh pegawai kanan exco infrastruktur pertanian di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Foto MUHAIMIN MARWAN, 16 JANUARI 2026

KUALA LUMPUR – Pas Selangor memberi amaran keras bahawa pembangunan ladang ternakan babi di Selangor tidak boleh berlindung di sebalik naratif “moden” atau “berteknologi tinggi” sekiranya ia terus mengorbankan alam sekitar, kesihatan awam dan keharmonian masyarakat.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri menegaskan bahawa pembangunan yang benar-benar mampan mesti diukur berdasarkan kesannya kepada rakyat dan alam sekitar, bukan semata-mata keuntungan ekonomi.

Beliau juga menolak sebarang pendekatan yang menghalalkan pencemaran atas nama kemajuan.

Menurut beliau, kajian oleh penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) di Kampung Selamat, Pulau Pinang yang diterbitkan pada 2025 membuktikan kegagalan serius pengurusan ladang ternakan babi apabila air buangan daripada 66 ladang dan sebuah rumah sembelih didapati berada pada tahap pencemaran yang membimbangkan.

“Majoriti ladang gagal mematuhi Standard B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, di mana pada September 2024 sebanyak 60 ladang melebihi had Ammoniacal Nitrogen (AN), 46 ladang melebihi had Biochemical Oxygen Demand (BOD) dan 30 ladang melebihi had Chemical Oxygen Demand (COD).

“Dapatan ini menunjukkan hampir semua ladang mencemarkan air, khususnya dari segi ammonia, dan analisis statistik turut membuktikan bahawa sistem tertutup (close-house) tidak menjamin pencemaran rendah, kerana tiada hubungan kukuh antara jenis sistem ladang dengan tahap pencemaran,” ,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr. Ab. Halim Tamuri

Beliau berkata, dapatan tersebut secara jelas menafikan dakwaan bahawa penggunaan sistem tertutup atau teknologi moden mampu menjadi jaminan mutlak terhadap perlindungan alam sekitar, sebaliknya mendedahkan kelemahan serius dalam tadbir urus, pengurusan kolam rawatan dan pengendalian sisa.

Dalam konteks Selangor, Ab. Halim turut mengingatkan bahawa cadangan projek ternakan babi moden berskala besar di Bukit Tagar perlu dinilai dengan penuh berhati-hati kerana penumpuan operasi berskala mega meningkatkan risiko pencemaran sekiranya berlaku kegagalan sistem rawatan atau kecuaian pengurusan.

“Pendekatan saintifik dan teknologi memang boleh meningkatkan produktiviti, tetapi ia tidak menjamin keselamatan alam sekitar jika kawalan, ketelusan dan akauntabiliti diabaikan. Kecekapan pengeluaran tidak boleh disamakan dengan perlindungan kesihatan awam,” katanya.

Ab. Halim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras berkata, kegagalan tadbir urus bukan sekadar isu teknikal, sebaliknya memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat termasuk pencemaran sungai dan sumber air, gangguan bau yang menjejaskan kualiti hidup, risiko kesihatan awam serta ketegangan antara komuniti.

Beliau menegaskan bahawa dalam banyak keadaan, manfaat ekonomi ladang hanya dinikmati segelintir pihak, manakala kos sosial, kesihatan dan alam sekitar terpaksa ditanggung oleh penduduk setempat, satu keadaan yang bercanggah dengan prinsip keadilan sosial dan pentadbiran beramanah.

Sehubungan itu, Ab. Halim berkata Pas Selangor menuntut audit alam sekitar yang bebas dan berkala, lesen operasi bersyarat pematuhan sebenar di lapangan serta tindakan tegas termasuk penggantungan atau pembatalan lesen secara automatik terhadap pengusaha yang gagal mematuhi piawaian.

“Pembangunan yang baik bukan yang paling cepat memberi keuntungan, tetapi yang paling selamat, adil dan berkat untuk jangka panjang,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast