KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes seorang pengarah syarikat yang didakwa menawarkan suapan RM500,000 berkaitan proses pengambilalihan konsesi Menara Kuala Lumpur, didengar bermula 7 Mei ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin menetapkan Pengarah Syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh yang didakwa menawarkan suapan RM500,000 setahun selama 15 tahun bagi faedah Tan Sri Annuar Musa, dibicarakan selama 17 hari.
Mahkamah menetapkan tarikh perbicaraan pada 7 dan 8 Mei, 5 Jun, 20 hingga 22 Julai, 28 Ogos manakala Oktober pada 5 hingga 7 dan 19 hingga 21 serta 1 hingga 4 Disember ini.
Suzana juga menetapkan tarikh sebutan kes pada 18 Mac ini untuk pihak pendakwaan menyerahkan senarai saksi.
Terdahulu, tarikh-tarikh itu dipersetujui oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Elyza Amira Habeeb Rahman dan peguam Tang Jia Yearn yang mewakili Abdul Hamid Shaikh.
Pada prosiding itu, Elyza Amira memohon tarikh sebutan untuk menyerahkan senarai saksi pendakwaan yang akan memberi keterangan di mahkamah.
“Kita juga akan memaklumkan kepada mahkamah mengenai status rayuan pihak pembelaan di Mahkamah Tinggi pada tarikh sebutan kes itu nanti,” katanya.
Pihak pembelaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang membenarkan kes membabitkan Abdul Hamid Shaikh dan Hydroshoppe Sdn. Bhd. dibicarakan bersama.
Pada 5 April 2023, Abdul Hamid Shaikh, 52, didakwa menawarkan suapan menerusi Datuk Tan Ser Lay sebagai dorongan kepada Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika itu untuk mempercepat proses pengambilalihan pengurusan serta pentadbiran konsesi Menara Kuala Lumpur oleh syarikat berkenaan.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya antara Julai dan Ogos 2022.
Dia didakwa mengikut Seksyen 16(6)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.
Hydroshoppe turut berdepan pertuduhan sebagai organisasi komersial melakukan kesalahan bersekutu dengan tertuduh iaitu menawarkan suapan bagi faedah Annuar dengan niat yang sama di lokasi serta pada tarikh serupa.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17A(1)(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM1 juta, mengikut mana lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















