KUALA LUMPUR – Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa menyifatkan keputusan Pas menyambung kepimpinan Perikatan Nasional (PN) sebagai tepat pada masanya.
Malah, beliau turut menilai lantikan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN baharu sebagai keputusan `di luar kotak’ Pas yang mencalonkan wajah segar turut memberi isyarat membawa PN menuju era lebih gemilang.
Selain itu, ujarnya, komitmen Pas; Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Gerakan dalam memperkasa PN adalah tepat.
“Wajah PN akan terus direkayasa memenuhi cita-cita Malaysia,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau.
Semalam, Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN di ibu pejabat Pas, di sini, melantik Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu sebagai Pengerusi PN baharu.
Lantikan itu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 Januari lalu, susulan polemik politik yang berlaku di Perlis.
Sementara itu, Annuar turut menyifatkan keputusan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu melepaskan jawatan sebelum ini telah membuka jalan ke arah transformasi penting dalam PN, serta keputusan strategik demi memperkasa gabungan parti tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menjangkakan PN bakal menerima `kerabat’ baharu, malah peruntukan perlembagaannya yang membolehkan adanya ahli bersekutu dan ahli langsung akan turut memperkuat PN dengan dukungan yang melebar.
“Dewan Tertinggi PN akan dipandu dari segi dasar oleh Majlis Presiden, sementara Dewan Tertingginya akan fokus mentadbir dan menggerakkan PN sebagai sebuah parti politik yang dinamik dan berkeupayaan tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette
















