Oleh: Ismail Hashim Yahya
DALAM geopolitik kontemporari, peperangan tidak lagi berlaku semata-mata di medan tempur. Ia juga berlaku melalui naratif, simbol dan struktur ekonomi yang menentukan bagaimana dunia memahami kuasa. Krisis di SelatHormuz
memperlihatkan dengan jelas transformasi ini. Di sinilah geografi, mata wang dan naratif kuasa bertemu dalam satu konflik yang jauh melampaui sempadan Timur Tengah.
Selat Hormuz merupakan salah satu laluan tenaga paling kritikal di dunia. Hampir satu perlima perdagangan minyak global melalui selat sempit ini setiap hari. Apabila laluan ini terganggu, kesannya tidak terhad kepada negara pengeluar minyak sahaja bahkan terus menjalar ke seluruh sistem ekonomi global. Gangguan kecil sekalipun mampu mencetuskan kenaikan
harga tenaga, menggoncang pasaran kewangan dan memberi kesan langsung kepada inflasi serta rantaian bekalan di pelbagai rantau dunia.
Namun yang menjadikan krisis ini lebih signifikan ialah bagaimana ia mendedahkan perubahan dalam struktur kuasa dunia. Konflik yang melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat (AS) bukan sekadar pertikaian ketenteraan. Ia telah berkembang menjadi pertarungan naratif geopolitik iaitu satu usaha oleh pelbagai kuasa untuk mentafsir semula bagaimana sistem dunia sepatutnya berfungsi.
Dalam konteks ini, Selat Hormuz bukan lagi sekadar laluan perdagangan ia telah berubah menjadi bahasa geopolitik yang membawa mesej strategik kepada seluruh dunia. Pendekatan untuk memahami fenomena ini boleh dilihat melalui kerangka
semiotik. Secara ringkas, semiotik merujuk kepada kajian tentang tanda dan makna—bagaimana sesuatu objek, ruang atau peristiwa boleh membawa makna yang jauh lebih besar daripada bentuk fizikalnya.
Dalam geopolitik, lokasi geografi tertentu boleh berubah menjadi simbol kuasa apabila ia dikaitkan dengan kepentingan strategik yang besar. Selat Hormuz ialah contoh paling jelas. Ia bukan sekadar laluan kapal bahkan juga simbol kawalan terhadap aliran tenaga dunia.
Selama beberapa dekad, dominasi global sering dikaitkan dengan kekuatan ketenteraan dan ekonomi barat. Kehadiran armada tentera AS di rantau Teluk telah lama dianggap sebagai jaminan kepada kestabilan perdagangan tenaga dunia.
Namun tindakan Iran menggunakan laluan tersebut sebagai alat tekanan geopolitik telah mengubah persepsi itu. Apabila Tehran mengehadkan laluan kapal tertentu atau memberi laluan secara selektif, ini bermakna tindakan tersebut membawa mesej simbolik yang jauh lebih besar daripada sekadar kawalan maritim.
Ia menunjukkan kuasa geopolitik tidak semestinya bergantung kepada kekuatan ketenteraan semata-mata lebih jauh lagi juga kepada kemampuan mengawal titik sempit ekonomi global yang kritikal. Dimensi yang menjadikan krisis ini lebih kompleks ialah cadangan kapal yang berdagang harus menggunakan mata wang Chinese yuan akan diberi laluan yang lebih selamat melalui Selat Hormuz.
Pada pandangan pertama, cadangan ini mungkin kelihatan seperti keputusan teknikal dalam perdagangan tenaga. Namun secara simbolik, ia membawa implikasi yang jauh lebih besar. Sejak tahun 1970-an, perdagangan minyak global sebahagian besarnya menggunakan United States dollar. Sistem ini dikenali sebagai petrodollar dan menjadi salah satu asas kepada dominasi kewangan AS dalam ekonomi global.
Melalui sistem tersebut, hampir semua negara yang ingin membeli minyak perlu memiliki dolar AS terlebih dahulu. Keadaan ini mewujudkan permintaan global yang berterusan terhadap mata wang AS dan memberikan Washington pengaruh ekonomi yang sangat besar.
Apabila Iran mengaitkan laluan Selat Hormuz dengan penggunaan matawang yuan, tindakan itu secara simbolik mencabar struktur ekonomi global yang telah lama terbentuk. Ia seolah-olah menghantar mesej bahawa laluan tenaga dunia tidak lagi semestinya berada sepenuhnya dalam orbit dolar.
Perkembangan ini juga memberi manfaat strategik kepada China yang sejak sekian lama berusaha memperluaskan penggunaan yuan dalam perdagangan antarabangsa. Walaupun Beijing tidak secara terbuka terlibat dalam konflik tersebut, perubahan dalam struktur perdagangan tenaga dunia secara tidak langsung mengukuhkan kedudukannya dalam ekonomi global.
Sebagai usaha memahami fenomena ini dengan lebih mendalam, konsep geonaratif menjadi sangat penting. Geonaratif merujuk kepada cara kuasa-kuasa besar membina cerita geopolitik mereka sendiri bagi menjelaskan dan melegitimasi tindakan strategik mereka. Ia adalah naratif yang menghubungkan geografi, sejarah, ideologi dan kepentingan strategik dalam
satu kerangka cerita tentang bagaimana dunia sepatutnya berfungsi.
Dalam krisis Selat Hormuz, sekurang-kurangnya tiga geonaratif yang berbeza dapat dilihat. Di Washington, naratif utama ialah kestabilan global dan keselamatan laluan tenaga. AS mmelihat dirinya sebagai penjaga sistem antarabangsa yang memastikan perdagangan global berjalan tanpa gangguan. Di Tehran pula, naratif yang dibina berbeza sama sekali. Iran menampilkan dirinya sebagai negara yang menentang dominasi barat serta mempertahankan kedaulatan daripada tekanan sekatan ekonomi dan ketenteraan.
Sementara itu, Beijing mengembangkan naratif yang lebih berhati-hati tetapi strategik, menekankan kestabilan perdagangan dan pembangunan ekonomi jangka panjang. Keadaan ini menggambarkan apa yang boleh disebut sebagai geonaratif multipolar—satu keadaan di mana kuasa global tidak lagi tertumpu kepada satu pusat tunggal tetapi dibentuk oleh beberapa naratif yang saling bersaing untuk mentafsir realiti geopolitik dunia. Dalam dunia seperti ini, perebutan makna menjadi sama penting dengan perebutan wilayah atau sumber semula jadi.
Gangguan di Selat Hormuz juga memberi kesan langsung kepada ekonomi global. Banyak negara Asia seperti China, Jepun dan India sangat bergantung kepada minyak yang melalui laluan tersebut. Apabila laluan itu terganggu, harga tenaga meningkat dan rantaian bekalan global turut terjejas. Negara-negara industri di Eropah juga mula merasai tekanan yang sama
kerana kenaikan harga tenaga boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan meningkatkan kos kehidupan.
Situasi ini menunjukkan konflik tersebut bukan sekadar perang ketenteraan. Ia telah berubah menjadi perang tekanan ekonomi global yang melibatkan tenaga, perdagangan dan sistem kewangan antarabangsa. Dalam konteks ini, laluan laut, mata wang dan bekalan tenaga menjadi instrumen geopolitik yang sama pentingnya dengan kekuatan ketenteraan.
Perkembangan ini juga boleh difahami melalui kerangka pemikiran ketamadunan. Ahli teori sistem dunia seperti Immanuel Wallerstein pernah menjelaskan bahawa sistem antarabangsa sentiasa bergerak melalui kitaran pusat dan pinggir, di mana kuasa yang dominan akhirnya akan dicabar oleh kuasa baharu yang muncul dari pinggir sistem. Pendekatan semiotik budaya yang dihuraikan oleh Yasraf Amir Piliang pula menekankan bahawa kuasa moden sering beroperasi melalui simbol dan naratif, bukan sekadar melalui kekuatan fizikal.
Daripada perspektif falsafah Islam, pemikir seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa krisis dalam tamadun moden sering bermula daripada kekeliruan makna dan kehilangan adab dalam memahami realiti. Jika dilihat melalui kerangka ini, konflik di Selat Hormuz bukan sekadar perebutan laluan minyak, tetapi juga perebutan makna tentang bagaimana
kuasa global sepatutnya difahami dan diuruskan dalam dunia yang semakin kompleks.
Di tengah perubahan ini, negara seperti Malaysia berada pada kedudukan yang unik. Malaysia bukan kuasa besar dari segi ketenteraan atau ekonomi, namun kedudukannya sebagai negara perdagangan maritim dan anggota penting ASEAN memberikan ruang diplomatik yang signifikan. Sebagai sebahagian daripada Global South, Malaysia berkongsi kepentingan dengan banyak negara membangun yang bergantung kepada kestabilan sistem perdagangan global.
Dalam dunia multipolar yang sedang terbentuk, negara seperti Malaysia berpotensi memainkan peranan sebagai jambatan diplomatik antara kuasa besar yang bersaing, sambil menjadi suara yang menekankan kestabilan global tidak boleh ditentukan hanya oleh kepentingan kuasa besar semata-mata. Pendekatan diplomasi yang menekankan dialog, keseimbangan dan kerjasama multilateral memberi peluang kepada Malaysia untuk menyumbang kepada pembentukan naratif keamanan yang lebih inklusif dalam sistem antarabangsa.
Apa yang berlaku di Selat Hormuz pada akhirnya bukan sekadar krisis tenaga atau konflik serantau. Ia merupakan gambaran kepada perubahan yang lebih besar dalam struktur kuasa dunia. Dengan mengaitkan laluan minyak dunia dengan penggunaan yuan, Iran telah menghantar mesej geopolitik yang mencabar sistem ekonomi yang selama ini didominasi oleh Amerika Syarikat.
Dalam dunia yang semakin multipolar, kuasa tidak lagi datang hanya daripada kapal perang atau peluru berpandu. Ia juga datang daripada laluan laut, mata wang dan naratif yang membentuk bagaimana dunia memahami kuasa itu sendiri.
Selat Hormuz dalam konteks ini bukan sekadar laluan tenaga global, tetapi juga simbol kepada retakan dalam struktur petrodollar dan kemunculan naratif dunia yang semakin berbilang pusat kuasa.
Di tengah persaingan naratif antara Washington, Tehran dan Beijing, negara seperti Malaysia mempunyai peluang untuk memainkan peranan penting sebagai suara keseimbangan dan diplomasi dalam sistem dunia yang sedang berubah. Dalam era ini, geopolitik bukan lagi sekadar soal siapa yang memiliki kuasa paling besar bahkan juga soal siapa yang mampu mentafsir dan membentuk makna kuasa tersebut dalam imaginasi politik global.

Penulis adalah pemerhati geopolitik dan hubungan antarabangsa
















