Dr Khairil Anwar Razali.

JOHOR BAHRU – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor akan merangka Pelan Rancangan Ekonomi 2026–2031 Pasir Gudang (PRE5PG) bagi memajukan lagi Pasir Gudang sebagai kawasan industri dan pelabuhan utama di Johor.

Bendahari Pejuang Johor, Dr Khairil Anwar Razali berkata, PRE5PG adalah sebagai satu kerangka strategik yang komprehensif dan berasaskan data.

Jelasnya, ini bagi memastikan pembangunan yang lebih inklusif, mampan dan berimpak tinggi dapat dinikmati oleh rakyat Pasir Gudang khususnya serta Johor secara keseluruhan.

Khairil mendakwa, PRE5PG akan mengubah wajah Pasir Gudang kerana dilihat ketinggalan berbanding Johor Bahru atau Iskandar Puteri yang jauh lebih maju.

“Pasir Gudang telah berkembang pesat sebagai kawasan industri dan pelabuhan utama di Johor dengan peningkatan populasi yang signifikan sejak tahun 2000 selari dengan perkembangan sektor perindustrian dan logistik.

“Kedudukannya yang strategik berhampiran Selat Tebrau serta rangkaian pelabuhan utama seperti Pelabuhan Pasir Gudang telah menjadikannya antara nadi penting kepada aktiviti eksport dan import negeri Johor, khususnya dalam sektor kimia, petroleum dan pembuatan.

“Namun begitu, pertumbuhan ini dilihat lebih bersifat kuantitatif tanpa disertai transformasi struktur ekonomi yang menyeluruh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, berdasarkan corak guna tenaga dan komposisi industri semasa, Pasir Gudang masih didominasi oleh sektor berintensifkan tenaga kerja dan modal tradisional seperti petrokimia, logistik dan pembuatan asas.

Sektor-sektor itu katanya, walaupun penting kepada ekonomi negeri, lazimnya menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran sederhana dengan kadar pertumbuhan gaji yang lebih perlahan berbanding sektor berasaskan teknologi dan pengetahuan.

Keadaan itu katanya, menyumbang kepada fenomena structural lock-in, di mana sesebuah kawasan kekal bergantung kepada struktur ekonomi lama tanpa peralihan kepada sektor bernilai tinggi.

Beliau berkata, dalam masa yang sama, wujud juga localised labour trap apabila tenaga kerja tempatan cenderung kekal dalam rantaian pekerjaan sedia ada tanpa akses mencukupi kepada latihan kemahiran tinggi, sekali gus mengehadkan mobiliti sosial dan peningkatan pendapatan jangka panjang.

Jurang pembangunan wilayah di Johor semakin ketara apabila Johor Bahru berkembang sebagai pusat ekonomi perkhidmatan dan kewangan, katanya.

Sementara Iskandar Puteri pula katanya, muncul sebagai hab pendidikan dan teknologi dengan kehadiran pelaburan asing serta institusi berasaskan inovasi.

“Sebaliknya, Pasir Gudang masih belum mengalami anjakan struktur yang sama ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, walaupun memiliki infrastruktur industri yang kukuh,” ujarnya.

Tambahan pula kata beliau, isu berkaitan kelestarian alam sekitar seperti pencemaran udara dan insiden pencemaran kimia yang pernah berlaku di Pasir Gudang telah memberi kesan kepada persepsi pelabur serta kesejahteraan penduduk setempat.

Justeru katanya, sebarang perancangan masa depan perlu mengambil kira keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Bagi mengatasi kekangan ini, satu Pelan Transformasi Berlapis (multi-tier transformation) dicadangkan.

“Tier pertama memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi mega melalui sektor bernilai tinggi seperti pusat data, industri digital, teknologi hijau serta logistik pintar yang sejajar dengan agenda ekonomi digital negara,” katanya.

Tier kedua pula katanya, memfokuskan kepada pengukuhan ekonomi sokongan termasuk vendor tempatan, perkhidmatan teknikal, penyelenggaraan industri serta pembangunan rantaian bekalan mikro yang lebih berdaya saing.

Seterusnya, tier ketiga ujarnya, menekankan pembangunan ekonomi rakyat melalui pelancongan industri, industri kecil dan sederhana (IKS), industri kreatif digital serta perkhidmatan harian yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.

“Dalam konteks Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ), Pasir Gudang mempunyai kelebihan dari segi lokasi, kemudahan pelabuhan dan akses kepada pasaran antarabangsa untuk muncul sebagai kluster industri dan logistik serantau.

“Namun, kejayaan inisiatif ini memerlukan dasar yang jelas, insentif pelaburan yang kompetitif serta pembangunan modal insan yang selari dengan keperluan industri masa hadapan,” tambahnya.

Disebabkan itu kata Khairil, Pejuang Johor merangka PRE5PG bagi melonjakkan lagi potensi dan prestasinya.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast