Norazreen Ahmad

JOHOR BAHRU – Usahawan Johor disaran mempercepat penggunaan sistem pengkomputeran berasaskan kecerdasan buatan (AI) secara dalam talian libat semua bidang perniagaan sebagai langkah strategik mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja konvensional.

Timbalan Presiden Pertubuhan Usahawan Nusantara Negeri Johor, Norazreen Ahmad berkata, peralihan kepada teknologi digital bukan lagi satu pilihan, sebaliknya keperluan mendesak dalam menghadapi tekanan ekonomi global yang semakin tidak menentu, khususnya akibat konflik berterusan di Asia Barat.

“Penggunaan AI mampu membantu usahawan meningkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos pengurusan serta mempercepat proses membuat keputusan perniagaan.

“Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, usahawan perlu bijak menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi. Sistem AI boleh menggantikan sebahagian tugas rutin, sekali gus mengurangkan kos tenaga kerja dan meningkatkan produktiviti,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Norazreen yang juga usahawanita menegaskan transformasi digital perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berperingkat-peringkat agar tidak membebankan usahawan kecil dan sederhana.

Dalam masa yang sama, beliau menggesa usahawan mempertimbangkan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui dalam operasi perniagaan masing-masing.

Langkah tersebut bukan sahaja mampu mengurangkan kos jangka panjang, malah membantu meningkatkan daya tahan perniagaan terhadap ketidaktentuan harga tenaga global.

“Peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar amat relevan, terutama bagi perniagaan yang menggunakan tenaga secara intensif. Ini adalah pelaburan masa depan yang boleh memberi pulangan berterusan,” jelasnya.

Beliau menyatakan keyakinan kerajaan negeri bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi tidak akan berdiam diri dalam membantu usahawan tempatan menghadapi cabaran ekonomi semasa.

Ujarnya, sokongan dalam bentuk insentif, latihan teknologi serta akses kepada pembiayaan amat diperlukan bagi memastikan usahawan mampu beralih kepada model perniagaan yang lebih moden dan mampan.

Beliau menambah bahawa kerjasama antara sektor awam dan swasta adalah kunci utama dalam memperkukuh ekosistem perniagaan negeri ini.

Sehubungan itu para usahawan diseru agar tidak menangguhkan perubahan, sebaliknya bertindak proaktif dalam mengadaptasi teknologi dan inovasi demi kelangsungan perniagaan dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast