KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dilihat sebagai langkah tepat dalam menangani tekanan kos sara hidup serta ketidaktentuan ekonomi semasa.
Pengarah komunikasinya, Mohammad Haziq Izwan Mohd Husni dalam kenyataan berkata, pakej berkenaan bukan sahaja memberi kelegaan jangka pendek kepada rakyat, malah berpotensi memperkukuh kesejahteraan sosial dan ekonomi negeri dalam jangka panjang.
Beliau berkata, antara inisiatif utama ialah subsidi tambang pengangkutan awam berjumlah RM5.4 juta yang akan memanfaatkan 30,000 penerima melalui bantuan RM30 sebulan bagi tempoh enam bulan.
“Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api, selain membantu menangani kesesakan lalu lintas serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat.
Selain itu, pelaksanaan program sarapan percuma sekolah dengan peruntukan RM9.6 juta melalui pihak berkuasa tempatan turut memberi manfaat kepada 873 sekolah di seluruh Selangor secara one-off,” katanya hari ini.
Beliau berkata, inisiatif itu dapat meringankan beban ibu bapa di samping memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara, khususnya dalam kalangan keluarga yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.
“AMK Selangor menyokong penuh pelaksanaan pakej ini dan berharap setiap inisiatif dilaksanakan secara telus, cekap serta sampai kepada kumpulan sasar,” katanya.
Tambahnya, sayap pemuda itu akan terus memainkan peranan memastikan dasar yang diperkenalkan memberi impak kepada rakyat, khususnya generasi muda.
“Ini bukan sekadar bantuan sementara, tetapi pelaburan strategik dalam memperkukuh daya tahan rakyat Selangor secara menyeluruh,” katanya. – MalaysiaGazette
















