Foto: FB MFL

KUALA LUMPUR – Liga Bolasepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2025-2026 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC di TM Stadium Nasional pada 23 Mei ini, kekal seperti musim lepas.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, meskipun berdepan dengan peningkatan kos penganjuran, namun pihak MFL masih mengekalkan harga tiket empat kategori utama yang ditawarkan kepada penyokong kedua-dua pasukan.

Katanya, struktur harga tiket masih sama seperti sebelum ini, dengan harga bermula RM50 dan RM70 bagi kategori General Admission (GA50 & GA70).

Selain itu, ujarnya, tiket Premium ditawarkan pada harga RM150, manakala VIP Grandstand berharga RM200.

Foto: FB MFL

“Dengan pengumuman awal harga tiket ini kami berharap penyokong JDT dan Kuching City FC dapat membuat persiapan awal dalam merancang perjalanan mereka ke TM Stadium Nasional untuk memberikan sokongan padu kepada pasukan masing-masing.

“Apatah lagi bagi penyokong Kuching City FC yang bakal merasai pengalaman beraksi di pentas final buat kali pertama, MFL berharap informasi awal ini dapat memberi masa yang cukup untuk mereka membuat perancangan perjalanan dengan lebih teratur.

“Seperti amalan sebelum ini, bagi urusan penjualan tiket pula, ia akan diuruskan sepenuhnya oleh kedua-dua pasukan finalis.

“Kaedah ini dilihat lebih tersusun dan memberi peluang yang lebih adil kepada penyokong untuk mendapatkan tiket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Para penyokong boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pembelian tiket menerusi pengumuman rasmi yang akan dibuat oleh pihak JDT dan Kuching City FC dalam masa terdekat.

Perebutan kejuaraan edisi ke-99 ini pasti mencuri tumpuan apabila mempertemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC yang bakal membuat penampilan pertama di pentas akhir. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast