KUALA LUMPUR – Seramai 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan serentak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di lapan lokasi sekitar Selangor semalam.
Operasi yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JIM Putrajaya pada pukul 11 pagi itu melibatkan premis di Semenyih, Jenjarom, Seri Kembangan, Cheras dan Serdang hasil risikan serta aduan awam selama dua minggu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, seramai 52 pegawai pelbagai pangkat digerakkan dalam operasi tersebut dengan pemeriksaan dilakukan ke atas 88 individu, terdiri daripada 66 warga asing dan 22 warga tempatan.
“Hasil pemeriksaan mendapati 45 warga asing dari Bangladesh, Myanmar, India, Nepal dan Indonesia berusia antara 29 hingga 50 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Selain itu, sembilan Saman kepada Saksi (Borang 29) turut dikeluarkan kepada warga tempatan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, kesemua warga asing yang ditahan telah ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut.
Zakaria menegaskan, operasi penguatkuasaan tidak hanya tertumpu kepada warga asing yang melanggar undang-undang, malah turut menyasarkan majikan yang masih berdegil menggaji PATI.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau memberi pekerjaan kepada warga asing secara tidak sah,” katanya. – MalaysiaGazette















