Kuala Lumpur Court Complex MACC MEIO case items evidence Hasanah Abdul Hamid
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pengasas rangkaian taman asuhan kanak-kanak (taska), Datin Nor Fadilah Alias, 36, berhadapan tiga lagi tuduhan menjalankan operasi taska yang tidak didaftarkan di Mahkamah Majistret, hari ini.

Tertuduh dituduh bersama dua pengusaha cawangan taska iaitu Nurul Aina Zulkifli, 34, dan Nurkhairunnisa Badrillah, 32.

Mengikut pertuduhan, Nor Fadilah dan Nurul Aina didakwa secara bersama-sama telah menjalankan taman asuhan kanak-kanak tidak didaftarkan di bawah peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 di sebuah taska di Taman Danau Desa, di sini, pada pukul 3.25 petang, 9 Januari lepas.

Wanita itu turut didakwa atas satu lagi pertuduhan serupa secara berasingan bersama-sama Nurkhairunnisa di sebuah taska di Jalan Alam Sutera, Cheras, dekat sini pada puku 10.15 pagi, 5 Febuari lalu.

Di mahkamah lain, Nor Fadilah juga didakwa atas satu lagi pertuduhan sama di sebuah taska di Sri Rampai Business Park, Medan Niaga Rampai, di sini pada 5 Febuari lepas dan pertuduhan dikemukakan mengikut seksyen serupa.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara yang boleh sampai dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nor Fadilah, Nurul Aina dan Nurkhairunnisa bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin, Khairunnisak Hasni dan Atiqah Mohamed@Mohamad Saim.

Mahkamah membenarkan Nor Fadilah diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan, manakala jaminan RM2,500 dan RM3,500 bagi Nurul Aina dan Nurkhairunnisa, masing-masing dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh, Nurainizatul Farhana Zainal dan Nuriwanina Ibrahim, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Syed Adam Al-Aqib Syed.

Sementara itu, mahkamah menetapkan tarih sebutan kes pada 15 Jun depan.

Rabu lalu, Nor Fadilah mengaku tidak bersalah atas tuduhan menjalankan operasi tanpa perakuan pendaftaran yang sah pada Januari lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast