Padini

KUALA LUMPUR – Peruncit fesyen, Padini Holdings Berhad mengesahkan beberapa akaun bank milik Syarikat dan anakanak syarikatnya dibekukan di bawah perintah berdasarkan Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Kata syarikat itu, perintah dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melibatkan siasatan yang sedang dijalankan terhadap pihak luar tertentu kepada kumpulan yang bukan pekerja, pegawai atau sebahagian pengurusan kumpulan.

Terdahulu, Padini Holdings Berhad berkata pihaknya tidak mempunyai pengetahuan sebarang dakwaan atau salah laku pihak syarikat sehingga mengakibatkan pembekuan dilakukan.

“Kami ingin menekankan berdasarkan maklumat yang ada setakat ini, kami tidak menyedari sebarang dakwaan atau salah laku di pihak kami dan memahami perintah pembekuan adalah prosedur diambil dalam proses siasatan,” katanya menerusi kenyataan.

Bagaimanapun, syarikat tersebut memberi jaminan akan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa yang berkaitan dan akan memastikan ketelusan sepanjang proses siasatan dijalankan.

Dalam masa yang sama, Padini Holdings Berhad memaklumkan memulakan semakan dalaman untuk menilai keadaan keseluruhan syarikat demi memastikan dasar, prosedur dan kawalan syarikat dalam keadaan kekal kukuh.

“Syarikat mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap rasuah dan kelakuan yang menyalahi undang-undang, dan tidak sama sekali membenarkan sebarang bentuk rasuah atau amalan yang tidak wajar.

“Padini kekal komited untuk menegakkan dan mematuhi standard tadbir urus korporat, integriti, serta pematuhan yang tinggi terhadap semua undang-undang yang terpakai,” katanya lagi.

Sementara itu, syarikat tersebut turut memaklumkan pihaknya telah melantik penasihat undang-undang luar untuk memberikan nasihat berhubung perkara ini dan sedang mengambil langkah-langkah yang perlu, termasuk memohon relif yang sewajarnya berhubung penyahbekuan akaun-akaun yang terkesan.

“Padini ingin menjelaskan bahawa operasi harian kumpulan kekal berfungsi sepenuhnya tanpa gangguan dengan perniagaan diteruskan seperti biasa.

“Padini akan memberikan kemas kini lanjut dari semasa ke semasa sekiranya terdapat sebarang perkembangan material,” tambahnya.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan embekukan beberapa akaun bank Padini Holdings Bhd (Padini) dan anak syarikatnya yang berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan.

Menurut peruncit pakaian itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, akaun terbabit dibekukan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast