Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (tengah), bersama Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi (kanan) ketika Taklimat Media bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Antara Malaysia - Republik Turkiye dan Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

KUALA LUMPUR – Malaysia membuka lembaran baharu hubungan akademik dua hala dengan julung kalinya menjalinkan kerjasama strategik dalam bidang pendidikan tinggi dengan Republik Turkiye.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, kerjasama berkenaan memberi tumpuan kepada bidang berimpak tinggi dan berorientasikan masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), aeroangkasa, teknologi hijau, kelestarian serta transformasi digital.

Kerjasama itu diperkukuh menerusi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia–Turkiye yang berlangsung dari hari ini hingga lusa di Pulau Pinang, susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara sebelum ini.

Menurutnya, mesyuarat itu merupakan kesinambungan kepada pertemuan pertama yang diadakan di Turkiye tahun lalu, dengan Malaysia kini bertindak sebagai tuan rumah.

“Ini merupakan mesyuarat kedua diadakan setelah Malaysia dan Turkiye menandatangani perjanjian persefahaman bagi mengadakan kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi.

“Ia akan melibatkan kesemua universiti awam dan universiti GLU atau ‘govemment linked university‘, tiga IPTS (institut pengajian tinggi swasta), politeknik serta IPTS negeri. Kita ada beberapa kategori, kategori IPTS biasa dan IPTS negeri. 

“Dijangkakan, kedua-dua negara akan menandatangani persefahaman untuk menghantar para pelajar untuk belajar di Turkiye dan sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam taklimat media bagi Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Antara Malaysia-Republik Turkiye dan Kongres Pendidikan Bumiputera di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.

Sementara itu, kongres pendidikan yang pertama iaitu Kongres Pendidikan Bumiputera pula akan berlangsung pada 1 Mei depan di Dewan Merdeka, WTCKL.

Ketua Sekretariat kongres berkenaan, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi berkata, program itu menghimpunkan 25 pembentang terdiri daripada tokoh pendidikan bagi membincangkan lima kluster utama termasuk penilaian dasar sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast