KUALA LUMPUR – Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam tempoh ini terpaksa beroperasi di kawasan yang mengecil 50 peratus sepanjang projek naik taraf dilaksanakan.
Manakala 50 peratus lagi adalah bagi laluan projek naik taraf yang dijangka siap pada akhir tahun ini.
Datuk Dr Harikrishna K R Nair berkata, projek berkenaan adalah perancangan strategik bagi menampung peningkatan kapasiti pesakit dan keselesaan perkhidmatan.
“Infrastruktur yang kelihatan uzur adalah bersifat sementara kerana proses ubahsuai bagi menampung projek naik taraf manakala kerusi-kerusi bagi pesakit dan waris yang menunggu akan ditambah mengikut kapasiti khemah menunggu sedia ada bagi meningkatkan keselesaan pelanggan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata demikian susulan tular paparan yang dimuat naik dalam media sosial baru-baru ini yang menggambarkan Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu seperti zon perang.
Bagaimanapun Dr Harikrishna berkata, perkhidmatan kesihatan di jabatan ini masih diteruskan dengan mengamalkan prinsip no wrong door.
Beliau memberi jaminan, HKL akan sentiasa memastikan operasi Jabatan berjalan lancar dengan semua kes diberikan perawatan mengikut prosedur standard operasi.
“Pihak pengurusan HKL mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan masyarakat dan sentiasa bersikap terbuka menerima cadangan,” tambahnya.- MalaysiaGazette
















