KUALA LUMPUR – UMNO Kelantan menyeru seluruh pimpinan dan ahli parti agar bersatu mempertahankan kerajaan sedia ada yang disifatkan sebagai terbentuk atas titah Yang di-Pertuan Agong, selaras dengan peruntukan Perlembagaan.
Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Sri Ahmad Jazlan Yaakob menegaskan, kerajaan hari ini bukan sekadar hasil percaturan politik, tetapi lahir daripada proses yang sah dan berperlembagaan.
Justeru, beliau mempersoalkan sama ada semua pihak, khususnya dalam kalangan perwakilan, bersedia untuk berdiri bersama UMNO Negeri Sembilan dalam mempertahankan maruah agama, bangsa dan tanah air.
“Adakah kita bacul? Sudah tentu tidak. Pesan kami dari UMNO Kelantan kepada Datuk Jalaluddin Alias, No Retreat, No Surrender,” katanya berucap pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-80 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Jazlan juga menegaskan, perjuangan UMNO bukan bersifat individu, sebaliknya berlandaskan kepentingan parti yang selama ini menjadi tunjang kepada agenda agama, bangsa dan negara.
ARTIKEL BERKAITAN
Beliau turut menyentuh pengalaman peribadi dirinya yang pernah berdepan kecaman dan penghinaan, termasuk dipersoalkan mengenai kepentingan dirinya dalam parti.
“Apa lagi Jazlan mahu? Saya tidak mahu apa-apa. Saya hanya mahu melihat UMNO kembali menakhoda negara,” ujarnya.
Beliau mengakui bahawa parti Melayu itu pernah melakukan kesilapan strategi politik, termasuk keputusan tidak mengadakan pilihan raya pada waktu yang dianggap sesuai.
“Itu kesilapan kita sendiri. Kita tidak boleh salahkan orang lain,” katanya.
Dalam nada bersahaja, beliau turut berkongsi perbualan bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berlaku lewat malam, menggambarkan dilema dan kesetiaan dalam membuat keputusan parti.
“Apa pun, kita pegang prinsip sami’na wa ata’na – dengar dan taat. Apa sahaja keputusan, kita hadapi bersama,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















