ADUN daripada blok kerajaan mengangkat tangan dalam proses pengundian RUU lantikan lima ADUN di sidang DUN, Bangunan Sultan Ismail, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor meyifatkan rang undang-undang (RUU) berhubung pelantikan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah usaha memperkukuh institusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurut Datuk Onn Hafiz Ghazi, ia juga bertujuan memperkukuh institusi DUN serta memperluaskan penyertaan pelbagai golongan dalam proses penggubalan dasar negeri.

Jelasnya, cadangan itu bukan bertujuan politik semata-mata, sebaliknya memberi ruang kepada individu yang mempunyai kepakaran tertentu dan pengalaman luas untuk menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Pelaksanaan ADUN lantikan itu akan membolehkan suara daripada pelbagai sektor termasuk ekonomi, pendidikan, teknologi, belia, wanita dan masyarakat sivil diketengahkan dalam persidangan DUN.

“Kerajaan negeri melihat keperluan untuk memperkukuhkan institusi DUN dengan membawa masuk individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam bidang tertentu demi membantu proses semak dan imbang serta memperkayakan perbahasan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan RUU berkenaan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kelima DUN Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Katanya, langkah itu juga dapat memastikan pandangan daripada kumpulan yang tidak diwakili secara langsung melalui pilihan raya dapat diberi perhatian dalam proses pentadbiran negeri.

Ujarnya, pelantikan lima ADUN itu akan dibuat mengikut peruntukan undang-undang dan tertakluk kepada syarat tertentu yang akan diperincikan kerajaan negeri.

Menurutnya lagi, pendekatan sama telah dilaksanakan di beberapa negeri lain termasuk Pahang, Terengganu serta Sabah dan terbukti membantu meningkatkan keberkesanan perbahasan serta penyediaan dasar yang lebih inklusif.

Onn Hafiz ketika membentangkan RUU itu turut mencadangkan pindaan Perkara 15 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dengan memasukkan frasa ‘tidak melebihi lima ahli lantikan’.

“Ini sekali gus akan menjadikan jumlah kerusi DUN Johor meningkat daripada 56 kepada 61 ADUN.

“ADUN lantikan ini perlulah individu berkaliber untuk meningkatkan kualiti perbahasan dan juga proses penggubalan dasar kerajaan negeri demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

DUN Johor hari ini meluluskan RUU berhubung cadangan mewujudkan jawatan lima ADUN lantikan itu yang memperoleh majoriti dua pertiga bagi membolehkan pindaan undang-undang negeri dibuat dengan 40 ADUN menyokong manakala 16 lagi menentang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast