MEXICO CITY – Pihak berkuasa Mexico mengumumkan sesi persekolahan akan ditamatkan sebulan lebih awal ketika negara ini bersiap sedia menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia.
Namun pengumuman itu mencetuskan bantahan meluas.
Menteri Pendidikan, Mario Delgado berkata, keputusan menamatkan sesi persekolahan 40 hari lebih awal dibuat berikutan gelombang haba yang melanda beberapa negeri.
“Kita akan menamatkan sesi persekolahan pada 5 Jun kerana banyak negeri kini mengalami suhu tinggi, selain isu Piala Dunia,” katanya pada satu acara di negeri Sonora, utara negara itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak berkuasa sedang mempertimbangkan untuk mempercepatkan permulaan sesi akademik baharu yang ketika ini dijadualkan bermula pada 31 Ogos.
Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada itu akan bermula pada 11 Jun apabila Mexico menentang Afrika Selatan di laman sendiri di Mexico City.
Ketika Delgado pengumuman itu, Presiden Claudia Sheinbaum berkata, ia sekadar cadangan.
“Masih belum ada kalendar muktamad. Penting juga untuk memastikan kanak-kanak tidak tercicir daripada pembelajaran,” katanya pada sidang media hariannya.
Ibu bapa dilaporkan terkejut dengan keputusan itu kerana ia mungkin memaksa mereka mencari dan membayar tambahan sebulan lagi kos penjagaan anak sepanjang cuti musim panas.
Kumpulan pemikir dasar awam, Mexico Evalua memberi amaran keputusan itu akan menjejaskan lebih 23.4 juta pelajar dengan mengurangkan lagi tempoh pembelajaran di tengah-tengah prestasi pendidikan yang sedia rendah dan jurang ketidaksamaan yang semakin melebar.
Persatuan perniagaan Coparmex pula menyifatkan keputusan itu sebagai “tergesa-gesa” dan memberi amaran tentang gangguan terhadap jadual keluarga serta kesannya kepada tenaga kerja.
Pegawai di negeri Jalisco di barat Mexico yang ditadbir pihak pembangkang kepada Sheinbaum berkata mereka tidak akan mematuhi keputusan itu dan akan mengekalkan sesi persekolahan sehingga 30 Jun seperti dijadualkan asal.
Kelas hanya akan digantung selama empat hari ketika Guadalajara menjadi tuan rumah perlawanan Piala Dunia bagi memenuhi “keperluan logistik” susulan acara tersebut. – Agensi
















