Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Nashriq Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Bera berharap Kerajaan Persekutuan memberi perhatian sewajarnya terhadap perkara yang dibangkitkan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkaitan kepentingan pembangunan negeri dan kebajikan rakyat di negeri itu.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bera, Nashriq Ismail Sabri berkata, pihaknya menjunjung kasih atas titah baginda yang mahu Pahang diberikan pertimbangan sewajarnya dalam aspek pembangunan serta keperluan rakyat.

Menurutnya, Pahang mempunyai peranan besar dalam pembangunan negara menerusi sektor pelancongan, pertanian, sumber asli dan pelaburan yang turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Saya berharap segala perkara yang dibangkitkan oleh Tengku Mahkota Pahang dapat diperhalusi dengan sebaiknya oleh Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.

“Saya yakin pandangan yang dizahirkan baginda adalah bagi memastikan pembangunan Pahang dapat dipercepatkan serta memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nashriq berkata, perhatian lebih besar terhadap pembangunan Pahang bukan sahaja penting kepada rakyat negeri itu, malah turut memberi kesan positif kepada kemakmuran negara secara keseluruhan.

Terdahulu, Tengku Hassanal dilaporkan melahirkan rasa kecewa apabila beberapa usaha kerajaan negeri untuk menambah hasil termasuk cadangan eksport pasir sungai tidak mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan.

Baginda bertitah, Pahang memiliki sungai terpanjang di Semenanjung dan kerja-kerja mengeluarkan mendapan pasir perlu dilakukan bagi memastikan aliran sungai lebih lancar selain membantu mengurangkan risiko banjir di negeri itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast