JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) kekal dengan pendirian bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang walaupun diugut, dicabar dan dilabel pengkhianat.
Ketua Penerangan BN Johor, Md Israk Abdullah berkata, UMNO dan BN tidak ada sebab untuk berganjak dengan ketetapan itu dan akan terus meletak calon di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO negeri menegaskan, ini kerana Johor mempunyai acuan politiknya yang tersendiri malah tidak berkongsi kuasa atau menubuhkan kerajaan Perpaduan.
“Mandat besar rakyat yang diberikan kepada BN pada PRN lalu adalah atas keyakinan terhadap kestabilan, rekod pentadbiran dan kemampuan BN mentadbir negeri tanpa bergantung kepada mana-mana gabungan lain.
“Justeru, tidak timbul soal UMDAP atau dakwaan kononnya UMNO Johor akan meleburkan identiti perjuangan demi kepentingan politik jangka pendek.
“Di Johor, tiada kerajaan Perpaduan negeri dan tiada keperluan untuk mewujudkan formula tersebut kerana kerajaan sedia ada mempunyai mandat yang kukuh daripada rakyat,” katanya dalam kenyataan.
Kelmarin, Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Suhaizan Kaiat berkata, BN negeri masih mempunyai peluang terakhir untuk menimbang dan menjalin kerjasama politik dengan PH seperti yang ditawarkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menawarkan kerjasama tersebut semasa Konvensyen PH 2026 di sini, namun jika tidak bersetuju, PH sedia bertanding solo bukan sahaja dalam PRN Johor tetapi juga PRN lain termasuk pilihan raya umum.
Selain itu, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan semasa berucap dalam konvensyen tersebut, PH juga sedia bertanding di semua 56 kerusi DUN di Johor susulan langkah BN Johor tersebut.
Begitu juga menerusi konvensyen tersebut beberapa pemimpin utama PH ketika berucap turut melemparkan tuduhan pengkhianatan terhadap BN Johor.
Mengulas lanjut, Md Israk berkata, UMNO Johor setuju kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menegaskan bahawa persefahaman kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan adalah berasaskan tanggungjawab kenegaraan demi memastikan kestabilan negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15.
Katanya, kenyataan tersebut jelas membuktikan bahawa kerjasama di peringkat Persekutuan tidak pernah sesekali menghapuskan identiti, kekuatan dan autonomi politik BN di peringkat negeri khususnya di Johor.
Pada masa sama katanya, UMNO Johor ingin menegaskan bahawa fokus utama ketika ini adalah memastikan agenda pembangunan negeri terus diperkasakan.
Jelasnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, ini termasuk usaha menarik pelaburan, memperkukuh ekonomi anak muda, memperluas bantuan kebajikan rakyat serta menjayakan pelbagai inisiatif kerajaan negeri bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
“Rakyat Johor mahukan kestabilan, kepimpinan yang bekerja dan hala tuju yang jelas. Atas asas itu, BN Johor akan terus memperkukuhkan gerak kerja parti dan turun ke bawah mendekati rakyat sebagai satu pasukan yang bersatu dan yakin dengan kekuatan sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette
















