ISKANDAR PUTERI – Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros menyifatkan cuaca minggu ini di Johor panas namun ‘panas’ minggu lalu lebih berbeza dipercayai merujuk kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan ‘pemimpin budak’.
Beliau secara sinis berkata, secara simboliknya perumpamaan tersirat dan tersirat itu akan difahami apabila merujuk kepada dua ‘keadaan’ cuaca tersebut.
“Cuaca dua tiga hari di Johor ni agak panas. Minggu lepas ‘panasnya’ lain. Tapi minggu ni panasnya kerana cuaca. Yang faham fahamlah. Kita dari Johor sepatutnya rasa sangat beruntung, berpuas hati dan juga bernasib baiklah.
“Johor hari ini berada di landasan yang paling tepat, diterajui oleh orang yang saya rasa paling tepat untuk terus memacu dan membawa negeri ini dengan visi dan juga misinya yang jelas.
“Saudara saudari yang hadir pada hari ini dijemput, boleh manfaatkan peluang dan kesempatan terbaik pada petang ini untuk ceritakan sendiri apa yang terpendam dalam hati dan perasaan itu tentang nak lihat ke mana negeri Johor ni sepatutnya kita bawa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi santai Lepak Dengan Budak Ni! di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Iskandar Puteri di sini kelmarin.
Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Noor Azleen berkata, Johor ketika ini sebuah negeri yang berkembang pesat dan boleh dikatakan semua keperluan dan kebajikan rakyat sudah dipenuhi.
“Apa lagi dalam negeri Johor ni yang tak cukup? Apa lagi isu-isu yang berkaitan dengan rakyat dan bangsa Johor yang kita rasa kerajaan negeri perlu ambil perhatian,” katanya.
Beliau bersyukur kerana dalam sesi santai tersebut dibawakan Menteri Besar Johor sendiri untuk mendengar setiap isi hati mereka yang hadir.
“Petang ini adalah pentas untuk kita beri ruang yang seluas-luasnya kepada budak-budak Johor. Sampaikan mesejnya kepada budak Johor yang seorang lagi ni. Sebab dia pun budak Johor. Cuma tanggungjawab dia (Onn Hafiz) lebih berat.
“Beliau berharap mudah-mudahan ada kata sampai masa boleh diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan, dalam bentuk dasar, dalam bentuk program dan akhirnya akan beri kita kejayaan yang kita nak bawa negeri Johor ni ke mana,” ujarnya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim melabel pemimpin muda sebagai budak-budak ketika mengulas pendirian Barisan Nasional (BN) Johor bertanding solo menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata demikian ketika berucap dalam kemuncak Konvensyen PH 2026 di Johor Bahru, Ahad lalu.
Perkara tersebut tular dan mencetuskan polimik apabila kenyataan itu dipercayai ditujukan terhadap Onn Hafiz.- MalaysiaGazette
















