Pengerusi DAP Cawangan Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer Mohideen

KUALA LUMPUR – Kemelut dalaman yang semakin membarah dalam Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai ‘karma politik’ susulan pengkhianatan yang berlaku ketika Langkah Sheraton pada 2020.

Pertelingkahan terbuka antara Pas dan Bersatu ketika ini juga dilihat membuktikan gabungan itu sejak awal dibina atas kepentingan kuasa politik dan bukannya perjuangan demi rakyat, kata Pengerusi DAP Shah Alam, Muhammad Shakir Ameer.

Menurutnya, kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ‘kesabaran parti itu ada batasnya’ serta hubungan dengan Bersatu sedang dikaji semula membuktikan keretakan dalam PN kini semakin serius.

“Rakyat Malaysia sedang menyaksikan pengakhiran sebuah pakatan politik yang lahir daripada pengkhianatan terhadap mandat rakyat pada Februari 2020 menerusi Langkah Sheraton.

“Ketika itu Pas dan Bersatu sanggup merobek mandat yang diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan semata-mata untuk membentuk kerajaan pintu belakang,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Shakir berkata, selepas enam tahun, PN kini berdepan krisis dalaman yang menurutnya menjadi ‘hukuman karma politik’ terhadap tindakan mereka sendiri.

Katanya, sebuah pakatan yang dibina atas pembelotan akhirnya akan runtuh apabila tiada lagi pihak luar untuk dipersalahkan sehingga mereka mula saling menyerang sesama sendiri.

Beliau turut mendakwa krisis kepimpinan dalam PN semakin ketara selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN yang membuka ruang kepada Pas mengambil alih dominasi dalam gabungan itu.

“Bersatu yang semakin lemah terpaksa menyerahkan tampuk kepimpinan tertinggi PN kepada Pas dan perkara itu jelas mengubah keseimbangan kuasa dalam gabungan tersebut,” katanya.

Dalam masa sama, Muhammad Shakir berkata, kemelut politik di Perlis turut mencerminkan keretakan serius antara kedua-dua parti apabila berlaku perebutan kuasa melibatkan pimpinan negeri.

Katanya, tindakan Pas menarik keluar wakil mereka daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perlis membuktikan hubungan antara PAS dan Bersatu semakin rapuh.

Beliau turut mendakwa Pas kini semakin lantang mempersoalkan kebergantungan Bersatu terhadap kekuatan jentera akar umbi parti itu dalam menghadapi pilihan raya.

“Pas secara terbuka menuduh Bersatu hanya tahu menuntut kuota kerusi, tetapi bergantung kepada jentera dan sukarelawan Pas untuk bekerja di lapangan,” tegasnya.

Menurut Muhammad Shakir, pertelingkahan dalam PN bukan berpunca daripada perbezaan dasar atau ideologi, sebaliknya disebabkan perebutan kuasa dan kepentingan politik semata-mata.

“Selama ini mereka menggunakan retorik penyatuan ummah dan kononnya memperjuangkan Melayu-Islam, tetapi akhirnya rakyat dapat melihat apa yang lebih penting kepada mereka ialah kuasa politik.

“Apabila gagal, DAP juga sering dijadikan kambing hitam bagi menutup kelemahan sendiri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast