KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mempersoalkan tindakan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah yang didakwa melepaskan tembakan ke arah seekor lembu korban dalam satu program ibadah korban di Kuala Perlis baru-baru ini.
Pemimpin DAP itu juga menggesa polis mengambil tindakan sewajarnya tanpa mengira kedudukan individu terbabit.
Rayer berkata, beliau telah menonton rakaman video yang tular di media sosial dan mendakwa insiden itu menimbulkan pelbagai persoalan berhubung aspek keselamatan serta pematuhan undang-undang berkaitan penggunaan senjata api.
Menurutnya, walaupun Abu Bakar menjelaskan tindakan tersebut dilakukan bagi mengelakkan mudarat selepas lembu berkenaan bertindak agresif, rakaman yang tular menunjukkan haiwan itu berada di kawasan terbuka dan tidak kelihatan menyerang sesiapa ketika tembakan dilepaskan.
“Jika benar lembu itu berbahaya, mengapa ia perlu ditembak ketika berada dalam keadaan sedemikian?
“Mengapa beliau membawa senapang patah ke program keagamaan dan bagaimana beliau boleh menjangkakan haiwan itu akan terlepas serta mengamuk?” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Rayer turut membangkitkan kemungkinan berlakunya kemalangan yang boleh mengorbankan nyawa sekiranya tembakan tersebut tersasar.
“Bagaimana jika ada individu yang terkena tembakan secara tidak sengaja sehingga menyebabkan kematian?” soalnya.
Beliau juga mempersoalkan sama ada Abu Bakar mempunyai lesen yang sah untuk memiliki dan menggunakan senapang patah tersebut.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2026/05/29/tembak-lembu-korban-polis-bakal-panggil-mb-perlis/
Katanya, walaupun seseorang memiliki lesen senjata api, tindakan mempamerkan atau melepaskan tembakan di tempat awam tetap tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut Rayer yang juga seorang peguam, melepaskan tembakan boleh menjadi kesalahan di bawah Akta Senjata 1960 manakala mempamerkan senjata api di tempat awam juga merupakan kesalahan serius yang memperuntukkan hukuman tertentu jika disabitkan.
Terdahulu, video memaparkan Abu Bakar melepaskan tembakan ke arah seekor lembu ketika Program Korban Perdana DUN Kuala Perlis di Dataran Lok 9, Kuala Perlis, tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi.
Abu Bakar kemudiannya menjelaskan lembu berkenaan terlepas daripada ikatan dan bertindak agresif sehingga boleh mengancam keselamatan petugas serta orang ramai.
Dakwanya, tembakan itu hanya disasarkan pada bahagian kaki bagi mengawal keadaan dan lembu tersebut kemudiannya disembelih mengikut prosedur korban seperti biasa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop dilaporkan berkata pihak polis sedang menjalankan siasatan berhubung video tular tersebut termasuk mengenal pasti jenis senjata dan peluru yang digunakan.
Sehubungan itu, Rayer mempersoalkan mengapa senapang yang digunakan masih belum dirampas dan mengapa tiada tindakan penahanan dilakukan setakat ini.
“Adakah kerana beliau seorang Menteri Besar? Tiada siapa yang mengatasi undang-undang.
“Polis Diraja Malaysia perlu bertindak secara telus dan tanpa memilih bulu,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















