KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain percaya pengaruh dan aura bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih kekal dalam kalangan pengundi Johor meskipun beliau kini menjalani hukuman penjara.
Menurut beliau, kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 tidak dapat dipisahkan daripada faktor sokongan rakyat terhadap Najib yang ketika itu aktif turun berkempen.
“Saya masih ingat ketika PRN Johor lalu, kita bergerak bersama Bosku.
“Kemenangan 40 kerusi itu tidak dapat dinafikan turut dipengaruhi momentum dan aura Bosku ketika itu,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Beliau berkata, walaupun Najib tidak lagi bersama secara fizikal dalam kempen kali ini, sentimen dan sokongan rakyat terhadap bekas Perdana Menteri itu masih dirasai.
“Bosku mungkin tidak hadir secara fizikal, tetapi auranya tidak hilang begitu sahaja.
“Saya percaya rakyat Johor masih merasai aura tersebut dan ia boleh membantu BN dalam pilihan raya kali ini,” katanya.
Zaidi turut menjelaskan isu dan faktor kemenangan kali ini berbeza berbanding PRN 2022 yang berlangsung ketika negara masih berdepan kesan pandemik Covid-19.
“Pengundi kini lebih menilai soal kebajikan rakyat, kos sara hidup, ekonomi serta prestasi kerajaan negeri dalam menarik pelaburan.
“Najib Razak menjadi ikon kempen BN menerusi jenama ‘Bosku’ yang membantu meningkatkan sokongan parti itu dalam beberapa pilihan raya sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















kalau ph ingin menang prn atau pru dsnr perlu dibebaska segera