KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Beruas, Datuk Azhar Ahmad dan cucu kepada allahyarham Tan Sri Nik Aziz Nik Mat, Nik Alif Aiman Abdul Ariffahmi memilih untuk berdamai dan bersetuju menyelesaikan masalah sesama mereka secara baik tanpa meneruskan pertikaian yang berpanjangan.
Kedua-duanya juga saling bermaafan dan menerimanya dengan hati yang terbuka atas semangat ukhuwah, perdamaian, saling menghormati dan demi kepentingan semua pihak.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu kenyataan bersama susulan insiden Nik Aliff Aiman yang mendakwa telah ditampar oleh bekas senator berkenaan semasa program anjuran sebuah universiti di Pahang, 20 Mei lalu.
Menurut kenyataan tersebut, persetujuan untuk berdamai itu dibuat selepas perbincangan mesra di antara Azhar dan Nik Aliff Aiman yang turut dihadiri beberapa individu lain termasuk Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Azizi.
“Kedua-dua pihak bersetuju untuk tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, komen atau tindakan yang boleh memburukkan, mengaibkan atau menjejaskan nama baik mana-mana pihak berhubung insiden tersebut.
“Dengan kenyataan ini, kedua-dua pihak menganggap perkara ini telah diselesaikan secara muktamad dan memohon agar semua pihak menghormati privasi serta keputusan yang telah dicapai,” kata kenyataan tersebut.
Tambahnya, kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu memudahkan penyelesaian secara baik dan berharap agar hubungan sesama masyarakat terus dipelihara dalam suasana saling menghormati serta berlandaskan nilai kesopanan dan keharmonian.
Media sebelum ini melaporkan, Nik Alif Aiman mendakwa ditampar seorang bekas senator ketika menghadiri program universiti di Janda Baik, Pahang, 20 Mei lalu.
Nik Alif Aiman mendakwa, insiden berlaku jam 6 petang selepas tamat sesi ceramah pada Program Pemerkasaan Bangsa 2.0.
Bagaimanapun, Azhar menafikan dakwaan berkenaan sebaliknya menjelaskan hanya menyentuh pipi anak saudara sahabatnya tanda kemesraan. -MalaysiaGazette
















