KUALA LUMPUR – Perpaduan negara tidak boleh dicapai hanya melalui kerjasama antara parti-parti politik, sebaliknya perlu dibina atas asas keadilan, keterangkuman dan layanan sama rata kepada seluruh rakyat.
Menurut Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau, usaha mempertahankan Kerajaan Perpaduan dan memastikan kestabilan politik negara sememangnya penting
Namun kekuatan sesebuah kerajaan perlu disokong oleh dasar serta pentadbiran yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Perpaduan nasional tidak boleh dicapai secara tulen jika terdapat persepsi dasar kerajaan, pendekatan pentadbiran atau naratif awam lebih mengutamakan satu kelompok berbanding kelompok lain.
”Ini boleh menyebabkan sebahagian masyarakat berasa terpinggir, tidak diberi perhatian dan tidak didengari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ganabatirau berkata, ketika ini terdapat rasa kecewa yang semakin ketara dalam kalangan rakyat, khususnya mereka yang merasakan kebimbangan berkaitan peluang ekonomi, pendidikan, perwakilan dan keterangkuman dasar masih belum diberi perhatian sewajarnya.
Menurut beliau, kerajaan perlu mengakui golongan yang berdepan diskriminasi dan peminggiran lebih memahami kesan ketidaksamaan berbanding mereka yang terus menikmati pelbagai kelebihan dan keistimewaan.
“Namun apa yang membimbangkan ialah apabila masih ada pihak yang sudah menikmati pelbagai manfaat terus menuntut lebih banyak kelebihan.
”Kadangkala sehingga menjejaskan peluang dan hak kumpulan lain yang masih berjuang untuk mendapatkan layanan adil serta pengiktirafan yang sama,” ujarnya.
Beliau berkata, kepelbagaian masyarakat yang dimiliki Malaysia sejak sekian lama merupakan kekuatan terbesar negara dan perlu terus dipelihara demi memastikan keharmonian sosial berkekalan.
Justeru, katanya, usaha mempertahankan Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dilihat sebagai mempertahankan sistem atau dasar yang boleh mengukuhkan ketidakseimbangan sosial atau mewujudkan rasa tersisih dalam kalangan mana-mana komuniti.
“Jika kita benar-benar ikhlas mahu memelihara perpaduan negara dan memperkukuh kestabilan politik, tadbir urus negara mesti bersifat inklusif.
“Tiada mana-mana komuniti yang harus berasa terasing dan tiada rakyat yang sepatutnya dianggap sebagai warga kelas kedua dalam agenda pembangunan negara,” jelas beliau.
Ganabatirau menegaskan masa depan Malaysia tidak boleh dibina melalui pemerkasaan terpilih, sebaliknya perlu berteraskan keadilan, maruah yang sama serta dasar yang mampu menyatukan seluruh rakyat.
“Malaysia yang benar-benar bersatu hanya dapat diwujudkan apabila setiap rakyat berasa dihormati, dihargai dan mempunyai kepentingan yang sama dalam membina masa depan negara,” katanya. -MalaysiaGazette
















