KUALA LUMPUR – Isu pelarian di Malaysia perlu ditangani dengan segera dan berhemah bagi mengelak golongan tersebut terus dijadikan kambing hitam selain menghalang sentimen kebencian daripada merebak dalam masyarakat.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, walaupun Malaysia bukan negara penandatangan Konvensyen Pelarian, negara ini mempunyai pengalaman panjang dalam menguruskan isu kemanusiaan melibatkan pelarian dari Vietnam, Syria, Bosnia dan Palestin dengan baik.
Menurutnya, naratif berhubung isu pelarian perlu dikembalikan ke landasan yang lebih seimbang memandangkan banyak perbincangan ketika ini dipengaruhi salah faham serta penyebaran maklumat tidak tepat.
“Kita mengakui terdapat masalah yang perlu ditangani, namun pada masa sama kita perlu mengendurkan salah faham dan membawa semula naratif ini ke medan tengah supaya ia tidak terus dilihat daripada sudut yang disalah tafsir,” katanya kepada media selepas Persidangan Kuala Lumpur: Solidariti Bersama Pelarian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas hasil perbincangan dan resolusi yang dicapai menerusi persidangan berkenaan yang turut melibatkan pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ahmad Fahmi berkata, pihaknya bimbang polemik berhubung pelarian yang berlarutan boleh mencetuskan kesan limpahan kepada isu lain, khususnya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.
“Hari ini kita bercakap tentang kebencian terhadap pelarian. Jika suara dan isu ini tidak ditangani dengan baik, kita khuatir sentimen tersebut akan merebak kepada elemen-elemen lain dalam masyarakat,” ujarnya.
Beliau menjelaskan, peranan pertubuhan masyarakat madani bukan untuk menyaingi usaha kerajaan, sebaliknya membantu mencari penyelesaian serta menyelaraskan suara pihak yang terlibat secara langsung dengan komuniti pelarian.
Mengulas sama ada deklarasi dan resolusi persidangan akan dibawa ke Parlimen, Ahmad Fahmi berkata, pihaknya sedang berusaha untuk menyerahkan cadangan berkenaan kepada ahli-ahli Parlimen.
“Kita juga akan mengadakan perbincangan susulan dengan pihak berkepentingan, khususnya di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Mungkin kerajaan sudah mempunyai langkah tertentu yang sedang atau akan dilaksanakan, namun suara masyarakat madani yang terlibat secara langsung dengan golongan ini perlu sama-sama diangkat dan diselarikan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















