TANGKAK – Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan manifesto gabungan itu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas hari penamaan calon Sabtu ini.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Amirudin Shari berkata, manifesto tersebut dinamakan Johor Ke Depan Undi Harapan yang memberikan pelbagai tawaran lebih baik untuk rakyat negeri ini.
“Manifesto PH akan menawarkan pelan pembangunan komprehensif yang dirangka berdasarkan rekod prestasi cemerlang pentadbiran PH di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan untuk dilaksanakan di negeri ini sekiranya memperoleh mandat.
“Insya-Allah, pasukan manifesto sedang siapkan. Dalam masa beberapa hari selepas penamaan calon, kita akan umumkan manifesto Pakatan Harapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bukit Gambir di sini, malam ini.
Turut hadir Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook merangkap Timbalan Pengerusi PH dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, manifesto itu bukan satu contoh yang tidak boleh direalisasikan tetapi sudah pun berjaya dilakukan di negeri ditadbir PH.
“Kita lakukan dan kita akan lakukan tidak lain dan tidak bukan untuk kebahagiaan, kesejahteraan rakyat negeri Johor,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 Jun sebagai hari penamaan calon, manakala 7 Julai untuk hari pengundian awal dan 11 Julai ialah hari pengundian. – MalaysiaGazette
















