Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani bercakap kepada MalaysiaGazette selepas melakukan walkabout dan menyantuni pengundi di Pasar Malam Taman Dahlia, Kempas, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani optimis BN mampu mempertahankan kerusi tersebut selepas menerima sambutan semakin positif daripada pengundi sepanjang lima hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, reaksi masyarakat ketika turun berkempen, termasuk di Masjid Kempas, jauh lebih mesra berbanding ketika pertama kali bertanding pada tahun 2002.

Menurutnya, hubungan yang lebih rapat dengan penduduk hasil khidmatnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas sebelum ini memberi keyakinan bahawa sokongan terhadap BN terus meningkat.

“Saya melihat sambutan yang diberikan amat positif. Ramai yang sudah mengenali saya dan menyambut dengan baik setiap kali saya turun bertemu mereka.

“Insya-Allah dengan doa dan sokongan rakyat Kempas, saya yakin BN mampu mengekalkan kerusi ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas melakukan walkabout dan menyantuni pengundi di Pasar Malam Taman Dahlia, di sini, hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.47 Kempas, Datuk Ramlee Bohani menyantuni peniaga Pasar Malam di Taman Dahlia, Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Ramlee berkata, baki tempoh kempen akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menyantuni lebih ramai pengundi memandangkan kawasan Kempas mempunyai lebih 60,000 pemilih.

“Saya menyeru rakyat Johor supaya terus memberikan mandat kepada kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang berjaya membawa pembangunan dan pelbagai inisiatif kebajikan kepada rakyat negeri itu,” katanya.

Dalam pada itu, Ramlee menyifatkan kempen PRN Johor kali ini berlangsung dalam suasana lebih terbuka dan matang berbanding pilihan raya ketika pandemik Covid-19.

Menurut beliau, ketiadaan sekatan pergerakan membolehkan semua calon berkempen secara lebih bebas serta mendekati pengundi dengan lebih berkesan.

“Sekarang kita sudah bebas daripada Covid-19. Demokrasi dapat berjalan dengan baik dan semua calon boleh berkempen secara sihat.

“Malah saya sendiri bertembung dengan calon-calon lain dan kami saling menghormati semangat demokrasi,” katanya.

Mengulas persaingan dengan dua calon yang lebih muda, Ramlee berkata faktor usia bukan ukuran utama dalam menentukan keupayaan seseorang wakil rakyat.

Sebaliknya, katanya, pengalaman dan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat menjadi aspek yang lebih penting.

“Sepanjang empat tahun menjadi wakil rakyat, pelbagai pembangunan telah dilaksanakan meliputi aspek pendidikan, ekonomi, agama dan kebajikan penduduk di kawasan Kempas.

“Yang paling penting ialah komitmen seseorang wakil rakyat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast