Logo Perkeso

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyalurkan faedah melebihi RM1.2 juta menerusi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) sepanjang tempoh sebulan pelaksanaannya.

PERKESO dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 592 permohonan kes diterima di bawah skim berkenaan bagi tempoh 1 hingga 30 Jun lalu.

Menurut kenyataan itu, perlindungan keselamatan sosial tersebut merangkumi Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), bayaran rawatan perubatan dan pembedahan, kos implan, Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Elaun Layanan Sentiasa (ELS) serta pemulihan di pusat rehabilitasi PERKESO.

Katanya, jumlah tertinggi pembayaran faedah adalah melibatkan kos implan sebanyak RM1.16 juta, diikuti FHUS berjumlah RM99,269.

“Secara purata, hampir 20 kes sehari direkodkan di bawah LINDUNG 24 Jam, sekali gus menjadi manifestasi usaha PERKESO menutup kelompangan perlindungan sosial yang ada di Malaysia.

“Jika dulu insiden di luar waktu kerja tidak dilindungi, kini perlindungan menjadi lebih menyeluruh termasuk ketika berada di rumah,” menurut kenyataan itu.

PERKESO memaklumkan perlindungan di luar waktu kerja bagi pencarum Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) diberikan secara automatik meskipun potongan caruman belum dilaksanakan.

Menurutnya, skim itu berperanan sebagai jaringan keselamatan sosial yang lebih menyeluruh bagi membantu pekerja berdepan musibah di luar waktu kerja tanpa menjejaskan kelangsungan sosioekonomi keluarga.

Katanya, PERKESO akan terus memperluas kesedaran mengenai LINDUNG 24 Jam bagi memastikan lebih ramai pekerja memahami manfaat skim berkenaan dan tidak tercicir daripada menerima perlindungan.

Untuk rekod, jumlah faedah yang disalurkan itu belum termasuk manfaat rehabilitasi tanpa had kepada pencarum bagi membantu mereka kembali bekerja selepas ditimpa bencana di luar waktu kerja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast