Sekolah menengah di Banting yang menjadi lokasi kejadian seorang pelajar perempuan dipercayai ditikam, hari ini. Foto MUHAIMIN MARWAN, 6 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Dua kejadian tikam yang berlaku di sekolah dalam tempoh lapan setengah bulan harus dipandang serius dengan langkah jangka panjang perlu diambil dan bukannya sekadar bergantung kepada tindakan sementara.

Sehubungan itu, Wanita MCA Selangor menggesa kerajaan supaya segera melaksanakan strategi keselamatan sekolah yang menyeluruh melibatkan beberapa fokus utama antaranya memasang pengesan logam di pintu masuk sekolah.

Pengerusinya, Tee Hooi Ling berkata, Kementerian Kewangan wajar mempertimbangkan peruntukan khas bagi tujuan ini dalam Belanjawan Persekutuan akan datang.

Selain itu, beliau turut mencadangkan agar liputan kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh kawasan sekolah diperluas, termasuk di koridor, tangga, sudut terpencil dan lokasi yang berpotensi menjadi titik buta, serta memastikan rakaman dipantau secara berkala.

Hooi Ling yang juga Timbalan Pengerusi Wanita MCA Malaysia turut menggesa agar aspek kawalan keselamatan sekolah disemak secara menyeluru.

“Adakah pengawal keselamatan berada di tempat kejadian ketika insiden berlaku? Jika ya, adakah rondaan dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan?

“Peranan dan tanggungjawab mereka perlu diperkukuh serta dikuatkuasakan dengan lebih tegas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/07/06/tikam-pelajar-banting-suspek-ditahan-mangsa-kini-stabil-di-hospital-banting/

https://malaysiagazette.com/2026/02/12/kes-tikam-pelajar-di-sekolah-damansara-utama-tertuduh-mengaku-tak-salah/

Beliau turut menyaran agar pemeriksaan mengejut dilaksanakan terhadap beg pelajar dan barangan larangan dengan lebih kerap, berpandukan garis panduan yang jelas bagi memastikan keseimbangan antara aspek keselamatan dan maruah pelajar.

Selain itu, sokongan kesihatan mental perlu diperkukuh di sekolah yang mana pelajar perlu digalakkan berkongsi masalah dengan kaunselor sekolah, guru atau ibu bapa apabila berdepan tekanan emosi, buli atau konflik.

Katanya, pelajar tidak seharusnya merasakan perlu memendam masalah bersendirian.

Pada masa sama, golongan dewasa perlu bertindak balas dengan penuh kesabaran, empati dan kefahaman, bukannya memandang ringan atau memperkecilkan kebimbangan yang diluahkan oleh kanak-kanak.

Tambah Hooi Ling program anti-buli, pendidikan penyelesaian konflik serta mekanisme intervensi awal perlu diperkasa bagi mengenal pasti pelajar yang berisiko sebelum sesuatu masalah berkembang menjadi keganasan.

“Tiada ibu bapa yang sepatutnya hidup dalam kebimbangan sama ada anak mereka akan pulang ke rumah dengan selamat selepas ke sekolah.

“Kementerian Pendidikan mesti bertindak tegas bagi memastikan insiden yang kini telah berlaku sebanyak dua kali di Selangor tidak akan berulang lagi di mana-mana sahaja di Malaysia,” ujar beliau lagi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast