SEKIJANG – Isu notis pengosongan melibatkan penduduk Kampung Melayu Raya dijadikan antara fokus kempen hari terakhir Pakatan Harapan (PH) apabila Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa mempersoalkan tindakan kepimpinan Barisan Nasional (BN) di kawasan itu yang didakwa gagal tampil membela nasib penduduk.
Beliau berkata, ketika penduduk berdepan notis pengosongan tanah yang didakwa melibatkan kawasan rizab jalan, wakil rakyat dan kepimpinan tempatan sepatutnya menjadi pihak pertama membantu menyelaras penyelesaian bersama agensi berkaitan.
Menurutnya, kerajaan negeri ketika itu diterajui BN, selain Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), ahli majlis serta ketua kampung juga berada di bawah pentadbiran sama, namun penduduk masih terpaksa berdepan keresahan tanpa pembelaan sewajarnya.
“Saya tertanya-tanya, di manakah ADUN Kemelah dan kepimpinan UMNO-BN ketika penduduk Kampung Melayu Raya menerima notis pengosongan dan memerlukan pembelaan.
“Sepatutnya mereka tampil membantu serta menyelaras tindakan dengan pihak berkuasa, bukannya membiarkan rakyat berdepan tekanan sehingga perkara ini terpaksa saya bangkitkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah,” katanya pada kempen di Kemelah hari ini.
Zaliha berkata, beliau sendiri menerima aduan daripada penduduk yang mendakwa diberikan notis mengosongkan kawasan dalam tempoh 30 hari, menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan kediaman dan premis perniagaan mereka.
Beliau berkata, selepas turun meninjau kawasan berkenaan, terdapat persoalan mengenai proses pengukuran rizab jalan yang disifatkan tidak konsisten kerana hanya melibatkan beberapa lot tertentu.
Katanya, penduduk juga berhak mengetahui sama ada kawasan berkenaan benar-benar telah diwartakan sebagai rizab jalan serta projek pembangunan yang menjadi asas kepada tindakan pengambilan tanah itu.
“Kalau benar ada projek pembangunan, tunjukkan pelan dan jajaran sebenar. Penduduk berhak tahu mengapa tindakan ini diambil selepas kampung itu wujud sejak puluhan tahun lalu,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan mengapa pejabat Parlimen Sekijang tidak dibenarkan menghadiri sesi libat urus bersama penduduk, sedangkan wakil rakyat mempunyai tanggungjawab memastikan maklumat yang disampaikan adalah jelas dan tepat.
Menurutnya, mana-mana proses melibatkan kepentingan rakyat perlu dilaksanakan secara telus, termasuk memberi ruang kepada wakil rakyat serta penduduk mendapatkan penjelasan lengkap sebelum sebarang keputusan dibuat.
Zaliha berkata, wakil rakyat sepatutnya berkhidmat kepada semua rakyat tanpa mengira fahaman politik dan tidak boleh membiarkan penduduk berasa tertekan sehingga terpaksa menerima syarat yang tidak difahami sepenuhnya.
Mengaitkan isu itu dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, beliau berkata, penduduk Kemelah mempunyai peluang membawa perubahan dengan memilih calon PH, Afif Hamid, sebagai wakil rakyat baharu.
“Jika Afif diberi mandat, kami akan terus membawa isu ini ke setiap platform yang berkaitan sehingga nasib penduduk Kampung Melayu Raya mendapat pembelaan yang sewajarnya,” tegasnya. -MalaysiaGazette

















kens habiskan ayat tu. “JANGAN JADI MANGSA PH LAGI”