Athur (empat, kanan) bersama delegasi menteri-menteri ASEAN lain yang hadir pada Mesyuarat Ke-27 Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (MSC) di Bali, Indonesia.

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup telah mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ke-27 Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (MSC) di Bali, Indonesia di mana Malaysia berperanan sebagai Timbalan Pengerusi mesyuarat tersebut.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Menteri Lingkungan Hidup Indonesia selaku negara tuan rumah dan dihadiri menteri alam sekitar serta pegawai kanan dari negara-negara Selatan ASEAN meliputi Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Sekretariat ASEAN sebagai urus setia mesyuarat.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam satu kenyataan berkata, dalam mesyuarat itu, semua negara anggota MSC menzahirkan komitmen untuk memperkukuh pelaksanaan Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (ASEAN Agreement on Transboundary Haze Pollution – AATHP) secara berkesan.

Malah kata kementerian, mesyuarat turut mengalu-alukan usaha berterusan Indonesia dalam membuat persediaan bagi penubuhan dan pengoperasian ASEAN Coordinating Centre for Transboundary Haze Pollution Control (ACC THPC).

“Selain itu, mesyuarat menyambut baik perkembangan ASEAN Investment Framework for Haze-Free Sustainable Land Management (AIF-HFSLM) yang menjadi pelengkap kepada pelaksanaan Second ASEAN Haze-Free Roadmap 2023–2030 serta Second ASEAN Peatland Management Strategy (APMS) 2023–2030.

“Pada masa sama, negara-negara anggota turut menggalakkan kerjasama lebih erat dengan Rakan Dialog ASEAN dalam menyokong pengurusan hutan, tanah gambut dan pertanian lestari bagi merealisasikan sasaran ASEAN Bebas Jerebu menjelang tahun 2030,” katanya dalam kenyataan itu.

Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

NRES memberitahu, dalam sesi pembentangan, ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) memaklumkan jumlah titik panas (hotspots) di Selatan rantau ASEAN meningkat sebanyak 86 peratus bagi separuh pertama tahun 2026 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut ASMC kata kementerian, peningkatan itu didorong oleh keadaan cuaca yang lebih panas dan kering terutama pada Januari, Mac dan April 2026.

“ASMC turut menjangkakan fenomena El Niño akan berterusan sepanjang separuh kedua tahun ini dan dijangka menjadi lebih kuat bermula Ogos hingga September, sekali gus berpotensi menyebabkan cuaca kering berpanjangan.

“Keadaan itu dijangka menyebabkan kebanyakan kawasan di Selatan ASEAN menerima taburan hujan di bawah paras normal dalam beberapa bulan akan datang, sekali gus meningkatkan jumlah titik panas dan risiko pencemaran jerebu merentas sempadan,” katanya.

NRES berkata, Mesyuarat Ke-27 MSC turut mengiktiraf usaha berterusan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam memperkukuh keupayaan operasi Southeast Asia Fire Danger Rating System (SEA FDRS).

“MET Malaysia memaklumkan tiga Automated Auxiliary Weather Stations (AAWS) telah dipasang di kawasan hutan simpan di Semenanjung Malaysia bagi meningkatkan keupayaan pengesanan awal risiko kebakaran hutan dan tanah gambut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast