Calon Pakatan Harapan N.24 Senggarang, Onn Abu Bakar hadir membuat tinjauan pada hari pertama pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Sekolah Menengah Kebangsaan Senggarang, Batu Pahat, Johor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 JULAI 2026.

BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Onn Abu Bakar menggesa pengundi supaya keluar mengundi lebih awal hari ini berikutan keadaan ramalan cuaca hujan dan tidak menentu.

Beliau yang tiba 8.30 pagi tadi berkata, selepas pusat mengundi dibuka pada jam 8 pagi, dianggarkan lebih 100 pengundi sudah hadir bagi menunaikan tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, pusat ini menempatkan dua saluran dengan seramai 1,145 pemilih berdaftar dijadual menunaikan tanggungjawab mereka sehingga pusat pengundian ditutup jam 6 petang.

“Saya menjangkakan peratusan keluar mengundi mungkin sekitar sehingga lebih 70 peratus dan cuaca pagi ini pun agak redup walaupun tadi berlaku sedikit hujan seperti ramalan.

“Jadi saya harap pengundi dapat mengambil peluang untuk keluar lebih awal kerana kita tidak tahu keadaan cuaca pada sebelah petang,” katanya.

Ahli Parlimen Batu Pahat itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang, di sini hari ini.

Selepas meninjau proses pengundian di SMK Senggarang, Onn akan meneruskan lawatan ke beberapa lagi pusat mengundi lain.

Beliau dijadualkan berada di pusat penjumlahan rasmi undi di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) bagi mengikuti proses penjumlahan keputusan DUN Senggarang.

DUN Senggarang yang mempunyai 38,576 pemilih berdaftar menyaksikan persaingan tiga penjuru antara penyandang Mohd Yusla Ismail (Barisan Nasional), Onn dan Datuk Mohd Rashid Hasnon (Perikatan Nasional).

Pada PRN Johor 2022, Mohd Yusla mempertahankan kerusi itu selepas memperoleh 9,725 undi dengan majoriti 3,912 undi, mengatasi calon PH dan PN

Secara keseluruhan, PRN Johor kali ini menyaksikan 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan 2,727,926 pengundi berdaftar, termasuk hampir 1.3 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun atau kira-kira 47.6 peratus daripada keseluruhan daftar pemilih. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast