Sekitar pendaftaran pelatih PLKN 3.0 Siri 3/2026 di Kem 505, Pekan hari ini

PEKAN – Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2026 di Kem Rejimen 505 (AW) Kem Force 136 di sini yang terbabit Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diberi kelonggaran melapor kehadiran sehinggga 13 Julai ini.

Komandan Cawangan Latihan Khidmat Negara 505, Mejar Norizwan Shah Kastory berkata, berdasarkan rekod, seramai 16 orang pelatih lelaki berusia genap 18 tahun ke atas yang terlibat.

“Kami menjangkakan seramai 500 orang pelatih lelaki melapor diri hari ini. Namun berdasarkan kepada keperluan semasa iaitu pelatih yang terlibat PRN Johor hari ini, kita beri kelonggaran untuk menerima kehadiran pelatih sehingga 13 Julai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Komandan Cawangan Latihan Khidmat Negara 505, Mejar Norizwan Shah Kastory

Menurut Norizwan, terdapat juga ibu bapa dan penjaga kepada pelatih yang menghantar anak-anak mereka ke kem tersebut hari ini bergegas pulang ke Johor untuk mengundi sejurus selesai proses pendaftaran.

Salah seorang ibu-bapa kepada pelatih, Seng Mei Lin, 47, ketika ditemui memberitahu dia terpaksa menyelesaikan urusan pendaftaran anaknya, Law Wei Jie, 18, yang bakal menjalani program latihan selama enam minggu dengan segera dan bergegas pulang ke Tampoi, Johor untuk mengundi.

Seng Mei Lin dan dua anaknya ketika hari pendaftaran pelatih di Kem 505, Pekan, hari ini

“Kami sudah tiba di Pekan sejak petang semalam dan tinggal di hotel berdekatan supaya pagi ni boleh daftar awal dan terus pulang untuk mengundi.

“Sedih sikitlah sebab anak saya tak pernah berjauhan dari kami sekeluarga. Anak saya belum genap usia 18 tahun, jadi dia belum boleh mengundi,” katanya.

Begitu juga dengan dua keluarga berasal dari Simpang Renggam, Johor yang menghantar dua anak lelaki mereka yang bersahabat baik sejak berusia 12 tahun ke kem ini pagi ini.

Abu Hassan Rahmat, 51, berkata, dia dan rakannya, Azman Misnan bersama keluarga mereka bertolak dari rumah sejak pukul 3 pagi tadi untuk urusan pendaftaran anak-anak mereka yang melapor diri secara sukarela ke PLKN kali ini.

“Ini selesai daftar, kami akan gerak balik terus untuk mengundi. Anak belum cukup umur 18, jadi dia tak boleh mengundi lagi. Sempat rasanya ini nak balik mengundi,” katanya.

Abu Hassan Rahmat

Sementara itu, Azman Misnan, 43 berkata, anaknya bertuah kerana diterima sebagai pelatih di kem ini bersama anak rakan baiknya itu, meskipun mereka berhadapan kekangan masa hari ini.

Katanya, dia dan isteri akan berkonvoi bersama Abu Hassan Rahmat sekeluarga pulang ke Simpang Renggam sejurus selesai proses pendaftaran anak-anak mereka.

“Terpaksalah sebab ada tanggungjawab lain untuk mengundi. Sebab kami kena bergegas pulang pula untuk mengundi. Tapi saya percaya tinggal dia (anak) di sini dalam jagaan terbaik.

“Harap-harap dia baik-baik sahaja di sini. Sebab kita tahu dia sudah besar dan biasa berdikari.

Azman Misnan bersama keluarganya

Proses pendaftaran pelatih bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 3/2026 di tiga kem di seluruh negara telah bermula sejak jam 7 pagi sehingga 12 tengah hari hari ini.

Difahamkan, seramai 31 pelatih yang terlibat dalam PRU DUN Johor meliputi 16 orang dari Kem 505 Pekan, Pahang; 12 orang di Kem 515 Kuala Lumpur dan tiga orang di Kem 504 Bukit Keteri, Perlis.

Bagi PRU DUN Negeri Sembilan pula, seramai 35 orang pelatih berada di Kem 505 Pekan manakala 11 orang di Kem 515 Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast