Mohammad Hazani Hassan ( Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC) , Christina Foo (Ahli Lembaga Pengarah MTDC ), Tan Sri Abd Rahman Mamat (Pengerusi MTDC), Elaine Lim (Pengarah Eksekutif Planworth) pada majlis MoU di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Planworth Global Factoring Sdn. Bhd. menjalin kerjasama strategik bersama Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) bagi memperluas akses perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada penyelesaian pembiayaan projek yang lebih fleksibel, inklusif dan mampan.

Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak dalam satu majlis yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MoU berkenaan ditandatangani Pengarah Eksekutif Planworth, Elaine Lim bagi pihak Planworth dan disaksikan Ketua Pegawai Operasi Planworth, Stella Yen.

MTDC pula diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MTDC, Ts. Hazani Hassan manakala majlis berkenaan turut disaksikan Naib Presiden Eksekutif Bahagian Perkhidmatan Korporat Kumpulan MTDC, Mohammad Farish.

Elaine berkata, kerjasama strategik bersama MTDC itu langkah penting dalam usaha memperluas akses PMKS kepada penyelesaian pembiayaan yang lebih fleksibel dan responsif, khususnya ketika ramai usahawan berdepan cabaran aliran tunai serta kekangan modal kerja.

“Ramai usahawan mempunyai potensi serta peluang perniagaan yang besar namun masih berdepan cabaran aliran tunai dan kekangan modal kerja untuk melaksanakan projek.

“Melalui gabungan kepakaran dan rangkaian kedua-dua organisasi, kami berharap kerjasama ini dapat membantu lebih banyak PMKS merealisasikan peluang perniagaan, melaksanakan projek dengan lebih yakin serta memperkukuh daya saing mereka,” katanya.

Tambah Elaine, inisiatif itu juga diyakini dapat menyumbang kepada pembangunan ekosistem PMKS yang lebih kukuh selain menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.

Sementara itu, Hazani berkata, kerjasama bersama Planworth dapat melengkapkan usaha MTDC dalam memperkasa ekosistem teknologi dan inovasi negara khususnya dalam membantu PMKS yang memerlukan sokongan pembiayaan untuk berkembang.

“MTDC sentiasa komited memperkukuh pembangunan teknologi dan inovasi tempatan melalui sokongan pembiayaan, pembangunan kapasiti serta pengkomersialan teknologi.

“Kerjasama bersama Planworth ini diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada PMKS untuk mendapatkan akses kepada pembiayaan projek yang sesuai sekali gus membantu mereka meningkatkan keupayaan pelaksanaan, daya saing dan potensi pertumbuhan,” katanya.

Kerjasama berkenaan diwujudkan ketika PMKS terus berdepan pelbagai cabaran perniagaan termasuk peningkatan kos operasi, tempoh pembayaran projek yang panjang, tekanan aliran tunai dan keperluan modal untuk memulakan atau menyiapkan projek.

Sebagai rakan pembiayaan strategik, Planworth akan menyediakan pelbagai penyelesaian pembiayaan komprehensif termasuk pembiayaan kontrak dan modal kerja, pembiayaan invois, kemudahan berkaitan jaminan bank, bon pelaksanaan projek serta pembiayaan rantaian bekalan.

Dalam pada itu, kerjasama antara Planworth dan MTDC turut memberi tumpuan kepada usaha membina kapasiti PMKS supaya mampu berkembang secara mampan, meningkatkan daya saing dan merebut lebih banyak peluang dalam projek sektor kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta.

Setakat ini, Planworth sudah menyokong nilai kontrak melebihi RM5 bilion menerusi lebih 50,000 transaksi kepada syarikat daripada pelbagai sektor industri, sekali gus membantu ribuan PMKS melaksanakan projek serta memperkukuh aliran tunai perniagaan mereka.

Bagi tahun 2026, Planworth memperuntukkan RM1 bilion pembiayaan bagi membantu lebih ramai PMKS mendapatkan akses kepada modal kerja dan pembiayaan projek untuk menyokong pertumbuhan perniagaan.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), MTDC memainkan peranan penting dalam memperkasa pembangunan teknologi dan inovasi negara melalui inisiatif pembiayaan, pembangunan kapasiti serta pengkomersialan teknologi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast