Sumber PEKIDA daerah Kuantan

KUANTAN – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (PEKIDA) Kuantan menafikan dakwaan terlibat melindungi warga asing di daerah ini.

Katanya, sebarang kenyataan yang mengaitkan PEKIDA dengan aktiviti tersebut adalah tidak benar dan tidak mewakili pendirian pertubuhan berkenaan.

“Kenyataan rasmi dibuat merujuk kepada beberapa kenyataan yang tular di media sosial mendakwa kononnya penempatan warga Rohingya di Medan Warisan, Kuantan dilindungi oleh ‘ayahanda’ serta mengaitkannya dengan PEKIDA.

“PEKIDA sama sekali tidak terlibat dalam melindungi mana-mana warga asing, sama ada Rohingya atau mana-mana penempatan warga asing di mana-mana lokasi,” katanya menerusi kenyataan di laman rasmi PEKIDA Kuantan di Facebook.

Tegasnya, PEKIDA sentiasa menjunjung Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta menghormati segala tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

Justeru, katanya, pertubuhan itu tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat mana-mana individu yang menyalahgunakan nama PEKIDA atau mendakwa bertindak bagi pihak PEKIDA untuk melindungi warga asing atau melakukan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

“Kami juga menyeru mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung salah laku mana-mana individu yang mengaku sebagai ahli PEKIDA atau menyalahgunakan nama pertubuhan supaya menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak pengurusan PEKIDA dan juga pihak berkuasa untuk siasatan serta tindakan mengikut lunas undang-undang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast