Bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin beramah mesra bersama penyokong selepas Program Moh Sarapan Pagi Bersama KJ sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika di Dataran Pekan Lenggeng, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 24 JULAI 2026.

LENGGENG – Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan merupakan medan menguji keikhlasan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), bukannya sekadar menggabungkan jumlah undi kedua-dua parti.

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kejayaan kerjasama itu bukan hanya diukur melalui kemenangan calon, bahkan sejauh mana kedua-dua parti komited membantu antara satu sama lain.

Beliau berkata, keputusan PRN kali ini akan menjadi penentu sama ada formula kerjasama BN-PN mampu diteruskan pada pilihan raya akan datang.

“Saya menyeru supaya undi kita tidak berpecah. Pengundi BN, PN dan atas pagar perlu memberi sokongan kepada calon yang dipersetujui.

“Ini bukan soal mencampurkan undi BN dengan PN semata-mata, tetapi menguji keikhlasan kedua-dua parti untuk mencapai kemenangan bersama,” katanya ketika berkempen di kerusi N.09 Lenggeng, di sini, hari ini.

Khairy juga mengajak penyokong BN dan PN memberi sokongan kepada calon BN di Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin sebagai simbol kesungguhan kerjasama yang sedang diuji.

“Saya mengakui gabungan itu berdepan cabaran kerana Negeri Sembilan masih ditadbir Pakatan Harapan (PH).

“Namun yakin kerjasama BN-PN serta rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan mampu memberi kelebihan kepada gabungan tersebut,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast