Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali

SEREMBAN – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor perlu menarik balik kenyataannya yang didakwa memainkan sentimen perkauman dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, kata Naib Pengerusi DAP Johor, Senator Sheikh Umar Bagharib Ali.

Beliau berkata, kenyataan yang mengaitkan kaum tertentu dengan negara asal masing-masing bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah dilihat sebagai penghinaan terhadap rakyat Malaysia yang selama ini hidup dalam sebuah negara berdaulat dan berteraskan Perlembagaan Persekutuan.

“Bagi saya dan pastinya rakan-rakan Pakatan Harapan (PH), ini adalah satu bentuk penghinaan terhadap rakyat Malaysia, bukan sahaja Melayu, Cina dan India, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

“Jadi, kami mendesak supaya Sanusi menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang media sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, hari ini.

Hadir sama adalah Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menurut Sheikh Umar, setiap rakyat yang memiliki kad pengenalan Malaysia adalah rakyat negara ini tanpa mengira latar belakang kaum dan tidak sepatutnya dilabel berdasarkan negara asal sesuatu kaum.

“Ini negara kita. Kalau seseorang itu ada kad pengenalan Malaysia, dia adalah rakyat Malaysia. Jangan kerana seseorang itu India, dia dikaitkan dengan India; kerana Cina, dia dikaitkan dengan China. Ini adalah satu penghinaan kepada rakyat Malaysia.

“Sanusi tidak boleh sesuka hati membahagikan rakyat Malaysia mengikut kaum dan negara asal seolah-olah kita ini bukan satu bangsa Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, isu berkaitan kedudukan Melayu dan Islam tidak seharusnya dijadikan modal untuk menyemarakkan politik perkauman sempit kerana perkara itu sudah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita adalah negara berdaulat. Kita mempunyai Perlembagaan yang menjamin kedudukan Melayu dan Islam. Jadi, jangan gunakan isu ini untuk menghina atau memecah-belahkan rakyat Malaysia.

“Kalau benar-benar mahu memperjuangkan Melayu dan Islam, lakukan dengan dasar dan kerja yang membina, bukan dengan menanam kebencian dan memecah-belahkan rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Umar turut memberi amaran supaya politik perkauman sempit tidak dibawa masuk ke Negeri Sembilan yang disifatkannya sebagai negeri yang selama ini menikmati kestabilan dan keharmonian masyarakat.

“Jangan bawa politik perkauman sempit ke Negeri Sembilan. Negeri ini sudah stabil. Rakyatnya hidup bersama dan membangunkan negeri tanpa perlu dipecah-belahkan berdasarkan kaum.

“Kita tidak mahu politik seperti ini membawa Negeri Sembilan ke belakang. Rakyat sudah cukup matang untuk menolak politik yang hanya tahu memainkan sentimen kaum dan agama demi kepentingan pilihan raya,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa rakyat Negeri Sembilan tidak seharusnya membiarkan politik perkauman sempit menjadi norma dalam kempen pilihan raya kerana kesannya bukan sahaja kepada keputusan pilihan raya, tetapi turut menjejaskan keharmonian masyarakat untuk jangka panjang.

“Cukuplah politik memecah-belahkan rakyat. Kita mahu politik yang menyatukan rakyat, bukan politik yang menghina rakyat sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast