SEREMBAN – Presiden Parti Wawasan Negara (PWN), Datuk Seri Hamzah Zainudin menolak dakwaan bahawa gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hanya memperjuangkan kepentingan orang Melayu serta Islam.
Sebaliknya beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tohmahan politik yang sengaja dimainkan bagi memecahbelahkan rakyat menjelang hari pengundian.
Menurut Hamzah, gabungan itu dianggotai pelbagai parti yang mewakili semua kaum termasuk MCA, MIC, Gerakan, Malaysian Indian People’s Party (MIPP) dan PWN.
“Itu tidak betul. Itu hanyalah tohmahan yang dilakukan oleh mereka. Kalau dikatakan kita hanya memperjuangkan umat Islam, bagaimana pula dengan MIC, MCA, Gerakan, MIPP dan PWN yang dipimpin masyarakat India?
“Janganlah kita memecah-belahkan rakyat dengan memainkan sentimen seperti ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette semasa berkempen di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, di sini, hari ini.
Hamzah juga menegaskan, gabungan BN-PN berhasrat membentuk sebuah kerajaan yang memberikan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
“Dakwaan berkenaan dibuat kerana pihak lawan mula melihat sokongan rakyat semakin beralih kepada gabungan ‘Kumpulan Biru’,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai kesediaan kerajaan untuk mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, Hamzah mendakwa isu tersebut sengaja dimainkan ketika kempen memasuki fasa akhir bagi mengganggu momentum sokongan terhadap gabungan BN dan PN.
Beliau berkata, situasi sedemikian merupakan perkara biasa menjelang hari pengundian apabila pelbagai pihak cuba mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar.
“Kita hanya berbaki lima hari lagi. Sudah tentulah macam-macam perkara akan ditimbulkan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.
Bagaimanapun, Hamzah berkata, rakyat perlu memberi keutamaan kepada pemilihan pemimpin yang mampu membangunkan negeri berbanding terpengaruh dengan polemik politik.
Menurutnya, isu di peringkat nasional akan terus diperjuangkan oleh blok pembangkang di Parlimen melalui fungsi semak dan imbang bagi memastikan pentadbiran negara berjalan dengan baik.
“Yang penting rakyat memilih pemimpin yang baik demi masa depan negeri ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















