Mohamad Shahrul Adnan

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor mencabar UMNO Selangor supaya segera menarik diri daripada Kerajaan Negeri Selangor dan melepaskan jawatan EXCO sekiranya benar mahu kembali bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan kenyataan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Timbalan Ketua AMK Selangor, Shahrul Adnan berkata, tindakan memainkan “politik dua muka” tidak wajar apabila di satu pihak menyatakan hasrat untuk bersama PN, namun pada masa sama masih mahu kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, jika UMNO Selangor masih berpegang kepada prinsip perjuangan yang dilaungkan, parti itu tidak perlu menunggu untuk dipecat, sebaliknya boleh menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan secara terhormat.

“Kalau benar UMNO Selangor sudah memilih untuk bersama PN, pulangkan dahulu jawatan EXCO Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna.

“Kerusi EXCO bukan mas kahwin politik untuk memujuk mana-mana parti supaya terus kekal berada dalam kerajaan, sebaliknya ia adalah amanah kepada mereka yang benar-benar komited mempertahankan dasar serta kestabilan Kerajaan Negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrul berkata, kedudukan Kerajaan Negeri Selangor tidak akan terjejas sekiranya UMNO mengambil keputusan untuk keluar kerana pentadbiran negeri kekal kukuh menerusi kerjasama antara Keadilan, DAP dan Amanah.

Katanya, agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat akan terus menjadi keutamaan tanpa mengira keputusan yang dibuat oleh UMNO Selangor.

“Malah, ramai lagi Ahli Dewan Negeri daripada Pakatan Harapan yang lebih layak dan berkemampuan untuk memikul tanggungjawab sebagai EXCO,” katanya.

Beliau turut menegaskan, rakyat Selangor kini semakin matang dalam menilai pendirian ahli politik dan mahukan sebuah kerajaan yang stabil serta fokus kepada kerja, bukannya pihak yang mahu mengekalkan jawatan sambil bercita-cita membentuk kerajaan lain.

“Kalau benar mahu bersama PN, buktikan dengan tindakan. Jangan sekadar bercakap. Letak jawatan EXCO dan keluarlah daripada Kerajaan Negeri Selangor,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast