SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri menggesa kerajaan negeri memperjelaskan fungsi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat supaya tidak berlaku pertindihan dengan agensi lain khususnya Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) (Pindaan) 2026 di Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini, beliau berkata, pindaan berkenaan memberi gambaran MAIS turut berperanan dalam membantu golongan sasar dari aspek kebajikan dan sosioekonomi.
Menurutnya, perkara itu menimbulkan persoalan sama ada bantuan berkenaan akan dilaksanakan sendiri oleh MAIS, melalui dana zakat atau secara kerjasama dengan LZS.
“Saya melihat kuasa ataupun fungsi MAIS ini seolah-olah hampir sama dengan zakat. Adakah MAIS akan melaksanakannya sendiri, melalui zakat ataupun bekerjasama dengan zakat?
“Kalau kumpulan sasar yang hendak dibantu ialah golongan memerlukan seperti asnaf, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan sokongan untuk bangkit semula, adakah fungsinya sama seperti zakat ataupun berbeza?” soalnya kepada Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi, Dr Mohammad Fahmi Ngah katanya bahas petang ini.
Azmizam bimbang sekiranya peranan yang tidak diperincikan dengan jelas akan menyebabkan bantuan disalurkan kepada penerima yang sama, menimbulkan pertindihan dengan pelbagai skim bantuan sedia ada.
Berdasarkan pengalaman di pusat khidmat rakyat, katanya, terdapat penerima yang memperoleh bantuan daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), LZS, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa program kebajikan kerajaan negeri.
“Kadang-kadang kita lihat orang yang sama menerima bantuan daripada pelbagai agensi. Jadi apakah sebenarnya yang cuba disampaikan melalui pindaan ini?
“Adakah fungsi sebenar MAIS adalah untuk merancang bentuk bantuan dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan semasa atau ada peranan lain yang berbeza daripada zakat?” soalnya lagi.
Beliau turut berharap kerajaan negeri memberikan takrif yang lebih jelas mengenai skop tanggungjawab MAIS supaya tidak berlaku pertindihan dengan program kebajikan lain seperti Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS), Bingkas Selangor serta bantuan di bawah agensi berkaitan.
“Saya mengalu-alukan jika ada lagi agensi yang tampil membantu rakyat tetapi konsep pelaksanaannya perlu diperjelaskan kerana zakat membantu orang Islam, MAIS juga untuk orang Islam.
“Kalau tidak diperincikan, akhirnya kumpulan yang menerima bantuan mungkin orang yang sama. Itu pengalaman yang kita lihat di pusat khidmat,” katanya.
Beliau berharap penjelasan lanjut diberikan kerajaan negeri ketika sesi penggulungan bagi memastikan pindaan enakmen itu benar-benar memperkukuh penyampaian bantuan tanpa mewujudkan pertindihan fungsi antara agensi. – MalaysiaGazette
















