Suhada terpaksa meminjam komputer riba milik rakan-rakan setiap kali menerima tugasan

KUALA LUMPUR – Demi memastikan adiknya terus mengejar cita-cita, seorang sukarelawan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sanggup memikul tanggungjawab membantu keluarga.

Pengorbanan Syafiq itu dilakukan bagi memastikan adiknya, Suhada, yang kini menuntut di Matrikulasi Kelantan tidak tercicir dalam pelajaran meskipun keluarga mereka berdepan kekangan kewangan.

Lebih menyentuh hati, Suhada terpaksa meminjam komputer riba milik rakan-rakan setiap kali menerima tugasan kerana keluarganya tidak mampu menyediakan peranti berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua ibu bapa mereka tidak bekerja, sekali gus menjadikan Syafiq sebagai harapan keluarga untuk membantu memenuhi keperluan adiknya.

Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husin yang berkongsi dalam media sosialnya berkata, walaupun hidup serba kekurangan, Syafiq tidak pernah berputus asa dan terus berusaha memastikan adiknya dapat meneruskan pengajian demi mengubah nasib keluarga melalui pendidikan.

“Kami percaya, pendidikan adalah jalan terbaik untuk memutuskan kitaran kemiskinan. Namun perjalanan itu memerlukan sokongan daripada insan-insan yang prihatin.

“Semoga ada hati yang tersentuh untuk menghadiahkan sebuah laptop buat adik Suhada agar beliau dapat meneruskan pengajian dengan lebih sempurna tanpa lagi bergantung kepada ihsan rakan-rakan.

“Setiap sumbangan yang diberikan bukan sekadar membantu seorang pelajar, malah menjadi pelaburan akhirat dan sinar harapan buat sebuah keluarga yang sedang berjuang mengubah kehidupan melalui ilmu,” luahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast