Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Fahmi Fadzil.

KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) menyambut baik keterbukaan Barisan Nasional (BN) yang tidak menutup ruang rundingan berhubung pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, pihaknya menerima baik cadangan yang dilontarkan Presiden BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di mana langkah awal telah dimulakan oleh PKR negeri itu demi kestabilan politik Melaka.

Menurut Menteri Komunikasi itu, Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim telah memaklumkan beliau telah berhubung terus dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Pengerusi BN Melaka.

“Kita juga menerima baik pandangan Datuk Seri (Ahmad) Zahid mengenai perkara ini dan (pemangku) Pengerusi Keadilan Negeri Melaka, Adam Adli juga ada memaklumkan beliau berhubung terus dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Rauf.

“Dan saya rasa keterbukaan ini adalah peluang yang baik untuk kita meneliti kerana kita tahu di Melaka BN mempunyai 21 kerusi dan Pakatan Harapan mempunyai lima kerusi.

“Jadi itu satu perkara yang realistik dan ada beberapa perkara boleh diuruskan di peringkat negeri, ada beberapa perkara yang perlu kita uruskan mungkin di peringkat Persekutuan.

“Dalam masa yang ada, saya lihat keterbukaan ini wajar kita santuni dan bukan hanya demi masa depan Melaka dan kestabilan politik Melaka, tetapi juga untuk negara,” katanya yang Ahli Parlimen Lembah Pantai ketika ditemui media selepas menghadiri Gotong Royong Mega Perangi Aedes di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam yang berkata, BN tidak menutup ruang rundingan berhubung pembahagian kerusi bagi PRN Melaka, termasuk kemungkinan pertukaran kerusi antara parti.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, prinsip asas dalam rundingan berkenaan ialah kerusi yang dimenangi mana-mana parti perlu dihormati, namun pertukaran masih boleh dilakukan sekiranya dipersetujui bersama.

Beliau berkata, selain pertukaran kerusi dalam rundingan PRN Melaka, pendekatan sama boleh dipertimbangkan membabitkan negeri-negeri lain yang dikuasai parti rakan dalam gabungan. – MalaysiGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast