KUALA LUMPUR – Politik identiti yang terus dijulang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad hanya akan membawa orang Melayu kembali ke belakang seperti ke lorong gelap pasca-merdeka yang sudah lama ditinggalkan.
Exco Pemuda Amanah, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin menyifatkan pendekatan politik berasaskan ketakutan kaum itu sebagai usaha membodohkan bangsa Melayu pada era yang sepatutnya menjulang persaingan sihat dan kebijaksanaan kolektif.
“Adalah sangat malang apabila seorang negarawan yang pernah mengemudi negara selama lebih enam dekad, kini memilih untuk menghidupkan kembali retorik lama yang membayangi zaman pecah dan perintah penjajah.
“Malaysia kini sepatutnya sudah melangkah jauh daripada kerangka pemikiran yang memisahkan kaum dan menanam rasa curiga antara satu sama lain.
“Sebaliknya, wacana kebangsaan harus berpaksi kepada cita-cita membina negara bersama atas asas keadilan, kesaksamaan dan kerjasama antara semua kaum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, politik identiti sempit yang terus ditiup hanya akan melemahkan daya saing orang Melayu.
“Naratif ‘Melayu hilang kuasa’ sebagai helah lapuk yang memperkecilkan kemampuan bangsa Melayu sendiri, dan menolak pendekatan yang menyeru penubuhan entiti eksklusif kononnya untuk mempertahankan bangsa.
“Apa yang Melayu perlukan hari ini bukan kelab atau sekretariat bangsa yang sempit, tetapi pentas untuk bersaing secara sihat dalam kerangka negara yang inklusif dan adil kepada semua,” tambahnya.
Tegasnya, lebih daripada soal bangsa, Malaysia lebih memerlukan satu arah tuju baharu yang berasaskan nilai Islam sejati yang memimpin dengan rahmah dan keadilan.
ARTIKEL BERKAITAN
https://malaysiagazette.com/2025/06/04/tun-m-gerak-inisiatif-terbaharu-satukan-orang-melayu/
Parti yang dahulunya melaungkan Islam untuk semua, kini mula menyempitkan perjuangan kepada kepentingan kaum semata-mata.
Ini jelas bertentangan dengan semangat Islam sebagai agama penyatu ummah dan pembawa rahmat untuk seluruh alam.
“Pemuda Amanah kekal dengan pendirian bahawa masa depan Malaysia hanya akan utuh sekiranya perpaduan nasional dibina atas nilai-nilai Islam yang inklusif, bukan dengan mengangkat semula sentimen perkauman yang memecahbelahkan rakyat.
“Kekuatan Melayu bukan pada ketakutan, tetapi pada keadilan. Kekuatan Malaysia bukan pada pemisahan, tetapi pada perpaduan. Sudah tiba masanya kita beralih daripada politik sentimen kepada politik berprinsip,” katanya. – MalaysiaGazette
















