KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali buat pertama kalinya berkongsi foto wajah bayinya, Nik Muhammad Nik Iruwan atau sebelum ini lebih dikenali sebagai Baby M di Instagram hari ini.
Dalam keterangan yang disertakan bersama foto itu, Nabila mengucapkan salam Aidiladha kepada semua dan berharap agar segala pengorbanan serta amal ibadah menjadi bekalan diberkati dunia dan akhirat.
Nabila turut berkongsi bahawa Baby M kini sudah berusia lima bulan dan merasakan inilah masa sesuai untuk memperkenalkan anaknya kepada umum.
“Baby M pun sudah berusia lima bulan dan kini adalah masa yang sesuai untuk Bella perkenalkan Nik Muhammad Nik Iruwan.
Menerusi perkongsian itu juga, Nabila menasihatkan semua yang hadir ke majlis aqiqah anaknya supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan bersama.
Baby M yang dilahirkan pada 23 Disember 2024 adalah anak sulung Nabila hasil perkahwinan dengan Nik Iruwan Nik Izani, 39. Pasangan itu berumah tangga pada 18 November 2023. – MalaysiaGazette
















