KUALA LUMPUR – Pendakwah selebriti, PU Syed menegur penyanyi baharu iaitu 44 Airel secara terbuka susulan muzik video lagu terbarunya berjudu Sempurna yang didakwa telah menyentuh sensitiviti agama Islam.
Menerusi hantaran di Instagram miliknya, PU Syed menyifatkan lagu dan video klip paling sampah daripada seorang penyanyi muda.
Beliau turut mempersoalkan tindakan penyanyi tersebut yang dikatakan menonjolkan adegan separuh lucah demi mengejar populariti.
Menurut PU Syed, kandungan muzik video itu bukan sahaja tidak senonoh, malah bertentangan dengan nilai Islam.
“Kenapa kalian perlu buat adegan separuh lucah? Nak gambarkan isu semasa tak perlu tonjolkan sisi tak senonoh dalam lakonan,” katanya.
PU Syed turut menggesa pihak berwajib untuk mengambil tindakan tegas dan menyaring kandungan muzik video sebelum disiarkan secara umum.
“Matlamat tak menghalalkan cara. Mohon sangat pihak berkuasa tapis dulu video macam ni!,” katanya.
Susulan kecaman tersebut, 44 Airel tampil menjelaskan muzik videonya hanyalah sebuah karya lakonan dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana pihak.
“Video ini hanyalah sebuah karya lakonan. Ia tak ada kena-mengena dengan sesiapa pun,” katanya. – MalaysiaGazette
















