Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menunjukan beberapa senarai syarikat yang mencatatkan jumlah saman tertinggi di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. Foto HARI ANGGARA, 25 JUN 2025.

KUALA LUMPUR – KDEB Waste Management (KDEB) telah menjelaskan 12,000 saman, tetapi saman tersebut dijelaskan dalam tempoh tiga hingga empat bulan selepas dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Keadaan itu berlaku kerana subkontraktor yang memandu dan mengendalikan lori sampah selalu menyembunyikan penerimaan saman, sekali gus menyebabkan kelewatan bayaran.

Pengarah Urusan KDEB, Datuk Ramli Mohd. Tahir berkata, subkontraktor cuba mengelak daripada potongan bayaran dan KDEB hanya menyedarinya selepas menerima surat saman selepas tiga bulan.

“Berdasarkan perjanjian kerjasama KDEB dengan kontraktor, kontraktor perlu menanggung semua saman yang diterima. Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka dikenakan nota debit, yakni potongan bayaran.

“Hal sama berlaku untuk lori sampah. Penguat kuasa akan mengeluarkan saman secara terus kepada pemandu, tetapi pemandu atau kontraktor akan mengabaikan saman itu dan tidak melapor kepada KDEB,” katanya kepada Sinchew Daily.

Beliau menjelaskan, KDEB mempunyai 1,500 buah lori sampah, tetapi dipandu oleh pekerja dari kontraktor atau subkontraktor.

“Jika sebuah lori menerima dua saman sebulan, maka KDEB akan mempunyai 3,000 saman terkumpul. Jumlahnya akan menjadi 9,000 dalam tiga bulan,” katanya.

Artikel berkaitan: KDEB Waste Management miliki 22,017 saman tertunggak

Beliau berkata, walaupun kontraktor dan subkontraktor menyembunyikan penerimaan saman, tetapi saman tersebut akan dihantar kepada ibu pejabat KDEB selepas tiga bulan.

Katanya, KDEB akan menjelaskan saman tersebut dalam tempoh lima bulan bagi mengelakkan dihadapkan ke mahkamah dan berdepan prosedur yang lebih rumit.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sebelum ini mendedahkan, sebanyak 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dikenal pasti mempunyai lebih 1,000 saman tertunggak termasuk 17 syarikat bas ekspres yang mencatatkan lebih 200 saman.

Katanya, KDEB yang juga syarikat pengurusan sisa pepejal milik Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI Selangor) mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 22,017 saman aktif.

Anthony mahu KDEB menjelaskan semua samannya dalam tempoh 14 hari atau disenarai hitam.

Mengulas perkara itu, Ramli berkata, KDEB  memandang serius amaran Kementerian Pengangkutan dan akan menjelaskan bayaran saman secara berperingkat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast